SRC International terima geran RM20j sebagai modal permulaan

Datuk Dr Kamariah Noruddin - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Kamariah Noruddin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa SRC International Sdn Bhd (SRC International) menerima geran sebanyak RM20 juta daripada kerajaan Malaysia sebagai modal permulaan.

Beliau berkata sebelum itu, syarikat pembangunan strategik milik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah memohon peruntukan sebanyak RM3 bilion bagi penubuhan SRC International.

Penubuhan syarikat itu, katanya, bagi mengekalkan pegangan strategik dalam pengeluaran negara, antaranya arang batu, uranium, besi, aluminum serta minyak dan gas.

Saksi ke-28 pendakwaan itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul pada hari ke-12 perbicaraan bekas Perdana Menterii, Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Mohd Ashrof: Siapa yang membuat permohonan itu?

Kamariah: Permohonan dibuat oleh 1MDB kepada Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri pada 24 Ogos 2010 yang ditandatangani bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrul Ibrahim Halmi dan diserahkan kepada Najib

Mohd Asrof: Permohonan dalam bentuk geran atau pinjaman? Kamariah menjawab "Geran."

Ketika ditanya mengenai tindakan yang diambil berhubung perkara itu, saksi berkata, beliau diminta menyediakan ulasan oleh Ketua Pengarah, Datuk Noriah Ahmad untuk menilai permohonan berkenaan.

"Datuk Seri Najib kemudian mengeluarkan arahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop supaya menimbangkan permohonan itu untuk dikaji dan menyediakan ulasan," katanya.

Mohd Asrof: Ada sediakan ulasan?

Kamariah: Ya, ada. Secara ringkasnya, ulasan itu menyokong cadangan 1MDB untuk menubuhkan SRC International Sdn Bhd bagi pengeluaran arang batu dan uranium.

Bagaimanapun, beliau berkata, permohonan untuk mendapatkan geran sebanyak RM3 bilion itu tidak disokong, namun pihak berkenaan bersetuju meluluskan RM20 juta sebagai modal permulaan. Saksi itu berkata, kelulusan RM20 juta secara asasnya adalah untuk penubuhan syarikat yang memerlukan pembangunan dalam industri.

Kamariah berkata, permohonan RM3 bilion itu tidak diluluskan kerana sumber membabitkan gas dan minyak sudah dikendali oleh PETRONAS.

"Arang batu ketika itu dikendali oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengimport 80 peratus sumber tersebut dari Indonesia manakala besi dan aluminium diberikan kepada syarikat swasta.

"Nor Mohamed kemudian menandatangani memo dan menyokong peruntukan itu menerusi surat bertarikh 12 Oktober sebelum dihantar ke Pejabat Perdana Menteri dan diluluskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Oktober 2010," katanya.

Najib, 66, berdepan tiga pertubuhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. - Bernama