Kerajaan pastikan pelaksanaan 453 projek di Kedah ikut jadual

Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kiri) bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi, di sini pada Sabtu.
Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kiri) bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi, di sini pada Sabtu.
A
A
A

POKOK SENA - Kerajaan akan memastikan semua projek pembangunan yang telah dirancang dan akan dibina di Kedah berjalan mengikut jadual ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau bertanggungjawab untuk memantau semua projek kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, ia melibatkan semua projek sama ada projek baharu atau projek sambungan berbentuk fizikal ataupun non fizikal yang berjalan di negeri ini.

"Kita sedia maklum untuk tahun 2023, jumlah bajet (diperuntukkan) adalah sebanyak RM1.6 bilion untuk Kedah dengan jumlah projek adalah 453 projek.

"Hari ini, kita berada di daerah Pokok Sena dan saya terima kasih kepada Yang Berhormat Fadhlina Sidek iaitu Menteri Pendidikan kerana di daerah ini, di bawah kementeriannya ada lebih kurang tujuh projek dengan salah satunya adalah projek projek bina baharu bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas lawatan ke SK Jabi, di sini pada Sabtu.

Beliau menerangkan, skop tugas Jabatan Pembangunan Negeri Kedah itu adalah memastikan sesuatu projek berjalan dengan lancar.

"Apabila projek itu telah diluluskan dan peruntukan telah diluluskan, (maka) perlaksanaannya itu mesti berlangsung dengan jayanya.

"Tidak boleh lambat, tidak boleh tertangguh dan tidak boleh jadi projek sakit, yang mana kita tahu kesan sangat merugikan," katanya.

Tambah Saifuddin, Jawatan Pembangunan Negeri Kedah akan memberi fokus kepada tujuh projek itu di daerah Pokok Sena dan akan terus memantau projek berkaitan bagi memastikan ia berjalan tanpa masalah.

"Sekarang, fokus kita untuk projek yang telah lulus adalah memastikan ia tidak sangkut (tergendala)," katanya.

Beliau menambah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah membuat gesaan ketika perbincangan peringkat Jemaah Menteri kepada semua kementerian bahawa projek perlu berjalan dengan sempurna apabila peruntukan telah diluluskan

"Jadi sekarang, beliau minta percepatkan semua sekali (projek). Beliau minta kementerian-kementerian berkenaan untuk memastikan semua yang telah diumum (dan) diluluskan mesti berjalan dalam tempoh masa tahun kewangan yang berkenaan terutama projek baharu, kick off, projek sambungan terus ditingkatkan peratusan perlaksanaannya," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius budaya buli dalam kalangan pelajar sekolah.

"Baik KDN dan saya percaya Kementerian Pendidikan (KPM) sekalipun, insiden buli ini kita tolak sama sekali. Tidak seharusnya menjadi amalan ataupun sepatutnya berlaku," katanya.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, guru dan masyarakat digesa berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah yang perlu.

Sebelum itu, KPM turut meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi kerja membaik pulih dan menyelenggara kemudahan di SK Jabi.

Fahdlina berkata, selain, itu, projek bina baharu bengkel mata pelajaran RTB yang menelan belanja kira-kira RM700,000 turut akan dilaksanakan di SK Jabi.

Katanya, peruntukan terbabit adalah tanda komitmen kerajaan yang mengutamakan soal-soal pembangunan bangunan daif dan juga penyelenggaraan sekolah dalam negara.

"Pada awal pagi tadi, saya sempat melihat dahulu keperluan dan juga penyelenggaraan sekolah ini. Jadi di peringkat KPM, kami setuju untuk luluskan RM300,000 untuk membantu sekolah itu," katanya.