Inisiatif tanaman padi lima musim dua tahun dipertimbang

Kerajaan akan mempertimbangkan inisiatif penanaman untuk meningkatkan pengeluaran padi negara secara lima musim dalam tempoh dua tahun sebagai antara usaha menambah baik ekosistem agromakanan negara. - Gambar hiasan
Kerajaan akan mempertimbangkan inisiatif penanaman untuk meningkatkan pengeluaran padi negara secara lima musim dalam tempoh dua tahun sebagai antara usaha menambah baik ekosistem agromakanan negara. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan mempertimbangkan inisiatif penanaman untuk meningkatkan pengeluaran padi negara secara lima musim dalam tempoh dua tahun sebagai antara usaha menambah baik ekosistem agromakanan negara.

Perkara itu antara diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) Kali ke-3 Bilangan 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Turut dipertimbangkan dalam mesyuarat itu ialah usaha oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menjamin ketersediaan bekalan makanan dan cadangan penetapan sistem penternakan secara tertutup bagi pengurusan ladang yang produktif dan selamat.

"Sebanyak tiga kertas kerja diteliti bagi menambah baik ekosistem agromakanan negara khususnya dalam mencapai sasaran keterjaminan makanan yang mencukupi,” menurut Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Sabtu.

Mesyuarat JKSMN yang berperanan merangka dasar dan strategi sekuriti makanan lebih holistik dan mampan itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri kabinet berkaitan serta pegawai kanan kerajaan. -

JKSMN turut memberi tumpuan memperkukuh sekuriti makanan negara mengambil kira faktor yang memberi kesan kepada pertanian negara seperti perubahan iklim, kekangan sumber, konflik geopolitik, kemudahsampaian makanan, jurang pendapatan dan amalan pemakanan.

"Faktor sosioekonomi seperti pendapatan penduduk, kos logistik dan harga makanan yang mempengaruhi kebolehcapaian kepada makanan yang cukup, selamat dan bernutrisi perlu diberi perhatian khusus dalam mencatur langkah menangani ketidaktentuan sekuriti makanan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan defisit perdagangan dengan memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi variasi benih penanaman dalam negara.

KPKM juga berusaha meningkatkan prestasi eksport produk hiliran berasaskan pertanian dan merancakkan aktiviti pengeluaran makanan secara domestik.

"Selain itu, Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang bermula pada 15 hingga 30 April 2023 selama 16 hari, dan inisiatif Menu Rahmah telah dapat membantu mengurangkan impak kenaikan harga pada April 2023," kata kenyataan itu.

Menurutnya Laporan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) menempatkan Malaysia di tangga ke-41 daripada 113 negara pada 2022, iaitu penurunan tujuh anak tangga berbanding 2021, sekali gus menggambarkan cabaran dan keutamaan kerajaan melaksanakan langkah penambahbaikan yang lebih berkesan untuk meningkatkan sekuriti makanan negara.

Bagaimanapun kerajaan akan terus memastikan langkah proaktif sentiasa ditekankan dalam menganalisis dan mengenal pasti inisiatif baharu serta merangka intervensi lebih komprehensif, relevan dan strategik dalam menjamin kemampanan bekalan input agromakanan dan aktiviti pengeluaran makanan negara. - Bernama