Kenderaan dipandu laju bahayakan murid SK Tualang Sekah

Kenderaan termasuk lori yang dipandu laju di hadapan SK Tualang Sekah mendatangkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka.
Kenderaan termasuk lori yang dipandu laju di hadapan SK Tualang Sekah mendatangkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka.
A
A
A

KAMPAR - Ibu bapa dan penduduk Kampung Tualang Sekah meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan lebih 400 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tualang Sekah, Malim Nawar di sini disebabkan kenderaan dipandu laju di hadapan sekolah berkenaan.

Seorang bapa, Mohd Nasri Aminuddin, 38, berkata, isu tersebut bukanlah baharu tetapi sudah menghantui ibu bapa sejak tujuh tahun yang lalu apabila murid di sekolah berkenaan semakin bertambah.

Menurutnya, memandangkan laluan di hadapan sekolah berkenaan merupakan laluan utama untuk kenderaan berat ke Lumut dan lombong pasir, hampir setiap hari lori-lori besar melalui kawasan tersebut.

"Kita amat bimbang kerana kenderaan yang melalui jalan ini semuanya laju. Walaupun ada papan tanda dan garisan kuning, seolah-olah tidak dihiraukan oleh pengguna jalan raya.

"Sesuatu mesti diusahakan oleh pihak berkaitan sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepada anak-anak kami di sekolah ini," katanya yang mempunyai anak berusia enam tahun di sekolah berkenaan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Adnan, Mohd Faufie, Mohd Nasri
Adnan, Mohd Faufie, Mohd Nasri

Bagi Idris Adnan, 67, pula, beberapa kemalangan pernah berlaku di hadapan sekolah berkenaan sebelum ini malah terdapat juga mangsa yang maut melibatkan ibu kepada salah seorang murid sekolah tersebut.

Dia yang mempunyai seorang cucu berusia 11 tahun bersekolah di situ memaklumkan terdapat cadangan supaya dibina bonggol berhampiran bagi memperlahankan kenderaan terutama lori yang menghampiri kawasan sekolah.

Katanya, namun sehingga kini pembinaan bonggol tersebut masih belum terlaksana kerana difahamkan terdapat kekangan tertentu daripada pihak jabatan berkaitan.

Seorang penduduk, Mohd Fauzie Zailan, 36, berkata, memang setiap kali mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dibangkitkan isu berkenaan namun keputusan yang dicapai tidak dapat dilaksanakan.

"Setiap tahun isu ini dibangkitkan oleh ibu bapa malah pelbagai cadangan diterima termasuklah pembinaan bonggol berhampiran sekolah ini tetapi apabila dibawa ke peringkat pelaksanaan tidak dapat disempurnakan.

"Ibu bapa amat bimbang dengan keadaan itu malah penduduk di Kampung Tualang Sekah berhampiran juga berdepan risiko disebabkan keadaan jalan tersebut," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBG SK Tualang Sekah, Emmiza Hasmi Zul berkata, sebelum menerajui persatuan itu pada tahun 2020, isu berkenaan sudah pun dibangkitkan oleh ibu bapa.

Menurutnya, waktu puncak bagi sekolah berkenaan bermula jam 11.30 pagi hingga 1 tengah hari kerana pada waktu itu murid sesi pagi pulang dan sesi petang baru masuk.

Jelasnya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kampar sudah dimaklumkan tentang masalah tersebut dan mereka telah mengambil tindakan menebalkan garisan kuning, memasang papan tanda baharu, memasang lampu jalan dan meletakkan penutup longkang berhampiran sekolah.

"Kita menghargai kerjasama baik diberikan oleh pihak JKR ini, namun ia masih belum dapat menyelesaikan masalah kenderaan dipandu laju oleh pengguna jalan raya terutama daripada luar kawasan ini.

"Jadi, kami beranggapan pembinaan bonggol ini wajar dipertimbangkan untuk dibina sebagai langkah keselamatan kepada murid-murid di sekolah ini," katanya.

Jelas Emmiza Hasmi, penguat kuasa trafik juga mungkin boleh membantu memantau keadaan kenderaan yang dipandu laju di kawasan sekolah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di hadapan sekolah berkenaan mendapati kebanyakan kenderaan melalui kawasan tersebut dipandu laju termasuk lori tanpa menghiraukan papan tanda murid sekolah yang dipasang di situ.