Niaga hadapan emas ditutup tinggi

Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meningkat pada Jumaat apabila permintaan terhadap aset selamat meningkat.
Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meningkat pada Jumaat apabila permintaan terhadap aset selamat meningkat.
A
A
A

NIAGA hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meningkat pada Jumaat apabila permintaan terhadap aset selamat meningkat susulan tuntutan pengangguran Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Jabatan Buruh AS melaporkan pada Khamis bahawa tuntutan pengangguran awal negara itu meningkat sebanyak 28,000 kepada 261,000 pada minggu yang berakhir pada 3 Jun, peningkatan terbesar sejak Julai 2021 dan melebihi anggaran konsensus sebanyak 235,000.

Seorang peniaga berkata, data lebih tinggi itu mencetuskan jangkaan pasaran bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin tidak akan menaikkan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada minggu depan, yang seterusnya menyebabkan minat pelabur beralih kepada logam berharga itu.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2023 naik kepada AS$1,968.7 setiap troy auns (AS$1=RM4.61) berbanding paras penutup AS$1,952.60 setiap troy auns pada Khamis.

Sementara itu, kontrak bagi Julai 2023, Ogos 2023, September dan October 2023 semuanya ditutup pada AS$1,977.40 setiap troy auns.

Jumlah dagangan meningkat kepada 10 lot berbanding sembilan lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 37 kontrak berbanding 34 kontrak.

Harga emas fizikal berada pada AS$1,966.4 setiap troy auns seperti yang diterbitkan oleh London Bullion Market Association pada 7 Jun. - Bernama