Masuk kedai curi syiling, pisau

Seorang lelaki yang dikehendaki polis sebelum ini ditahan selepas disyaki mencuri sejumlah wang syiling di sebuah kedai menjual barangan basah dan runcit di Kampung Kubang Tin, Peringat pada Khamis.(Gambar hiasan) - Foto123rf
Seorang lelaki yang dikehendaki polis sebelum ini ditahan selepas disyaki mencuri sejumlah wang syiling di sebuah kedai menjual barangan basah dan runcit di Kampung Kubang Tin, Peringat pada Khamis.(Gambar hiasan) - Foto123rf
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki yang dikehendaki polis sebelum ini ditahan selepas disyaki mencuri sejumlah wang syiling di sebuah kedai menjual barangan basah dan runcit di Kampung Kubang Tin, Peringat pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki berusia lewat 20-an itu datang bersendirian kira-kira jam 7 malam lalu masuk ke dalam kedai berkenaan.

Beliau memberitahu, kejadian itu disedari pemilik kedai dan suspek ditangkap dengan bantuan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Siasatan mendapati suspek masuk ke dalam kedai dengan cara mengumpil pintu jeriji bahagian hadapan kedai sebelum mencuri wang syiling serta dua bilah pisau pemotong daging," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Menurut Mohd Rosdi, lelaki itu dikehendaki polis bersabit tiga kesalahan dadah dan jenayah.

"Ujian saringan urin mendapati suspek positif dadah.

"Mahkamah Majistret Kota Bharu membenarkan lelaki itu ditahan direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

Bagi kesalahan positif dadah kes disisasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak kurang dari dua tahun.

Sebelum itu tular video dan beberapa keping gambar di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dalam keadaan kaki dan tangan diikat oleh penduduk kampung.