Pengecualian duti setem pemilikan rumah diteruskan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan meneruskan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan memaklumkan, langkah itu bagi menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat seperti mana diumumkan di dalam Belanjawan 2023.

Menurut kementerian itu, di bawah Program Pemilikan Rumah (Hope), pemilikan rumah pertama menerusi Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-Miliki) akan diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.

Pengecualian duti setem 100 peratus itu adalah bagi pembelian rumah berharga tidak melebihi RM500,000.

"Bagi pembelian rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, pengecualian duti setem adalah 75 peratus," kata MOF.

Ujar kementerian itu, layanan duti setem tersebut terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Jun 2022 sehingga 31 Disember 2023.

Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju supaya duti setem ke atas surat cara pindah milik harta tanah secara kasih sayang melibatkan ibu bapa dan anak, datuk nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada RM1,000,000 pertama nilai harta tanah.

"Baki selebihnya daripada nilai harta tanah tersebut tertakluk kepada kadar duti ad valorem dan diberi remisi sebanyak 50 peratus ke atas duti setem yang dikenakan," kata MOF.

Layanan duti setem itu terpakai bagi surat cara pindah milik harta tanah yang disempurnakan mulai 1 April 2023.