Parlimen: Speaker tegur pembangkang boikot bahas LKAN

Johari Abdul menegur sikap ahli Parlimen pembangkang yang memboikot sesi pembentangan, perbahasan dan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri Dua. - Foto Bernama
Johari Abdul menegur sikap ahli Parlimen pembangkang yang memboikot sesi pembentangan, perbahasan dan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri Dua. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegur sikap ahli Parlimen pembangkang yang memboikot sesi pembentangan, perbahasan dan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri Dua.

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai bukan amalan biasa, beliau berkata, semua ahli Parlimen pembangkang tidak hadir semua sesi pembangkang usul berkenaan sejak semalam dan diteruskan hingga petang Rabu.

"Selalunya Dewan penuh, tetapi semalam pembangkang tak mahu terbabit dalam perbincangan atau perbahasan, jadi mereka buat keputusan untuk boikot dan meninggalkan Dewan sejak semalam hingga hari ini.

"Ini bukan amalan biasa, tapi agak luar biasa. Janganlah kita memberi anggapan ini adalah keadaan biasa dalam Dewan, ini tidak begitu. Isu ini agak terpencil," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Kenyataan Johari itu dicelah RSN Rayer (PH-Jelutong) yang menyifatkan ketiadaan pembangkang di sepanjang pembentangan usul itu menjadikan keadaan Dewan Rakyat lebih aman.

"Keadaan aman dan damai tanpa pembangkang," katanya.

Johari turut memberitahu, usul LKAN yang pertama kali dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat menempa sejarah baharu kerana diluluskan selepas mendapat sokongan suara majoriti.

Pada Rabu, Dewan Rakyat kecoh apabila pembangkang bersepakat supaya LKAN tidak dibahas dalam persidangan atas alasan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketidakwajaran untuk LKAN dibahas dalam Dewan Rakyat kerana terdapat undang-undang yang memperuntukkan laporan itu boleh dibentang tanpa perbahasan. - Awani