Sarawak ambil pelbagai strategi elak kematian akibat rabies

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak mengambil pelbagai strategi bagi mengelak peningkatan kematian akibat wabak rabies di negeri ini, kata Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata langkah yang diambil termasuk pengawalan dan pembasmian rabies pada anjing, mengurangkan kes gigitan, mengurus kes gigitan secara integrasi serta rawatan selepas digigit.

“Pemvaksinan secara besar-besaran dalam kalangan anjing dan mewartakan kawasan yang dijangkiti akan diteruskan dan setakat hari ini sebanyak 62 kawasan di 11 bahagian telah diisytihar sebagai kawasan wabak rabies kecuali di Limbang.

“Kerajaan akan meneruskan vaksinasi sehingga 70 peratus daripada 220,000 ekor anjing di seluruh Sarawak dan mengekalkannya selama sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Amar Jamilah Anu (GPS-Tanjung Datu).

Sementara itu, Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang bersetuju menubuhkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi terus membincangkan isu berkaitan tuntutan Sarawak.

“Semua ini menunjukkan bahawa ada tindakan positif yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak baik kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata perjuangan mengembalikan hak-hak Sarawak mengikut perjanjian menyertai Malaysia dahulu mesti dilaksanakan dalam perimeter Perlembagaan Persekutuan serta berdasarkan undang-undang sah dan mengikut konteks negara ini.

“Inilah pendirian kita dan tiada niat lain,” katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Tiong Thai King (GPS-Dudong). - Bernama

Artikel Berkaitan: