Kalimah ALLAH: PM setuju bawa ke MKI - Sultan Selangor

Sultan Selangor (kanan) berkenan menerima menghadap Anwar (kiri) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Sultan Selangor (kanan) berkenan menerima menghadap Anwar (kiri) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan untuk membawa isu kalimah ALLAH kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos ini sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja (MRR) pada Oktober depan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Anwar yang hadir menghadap dan menyembah taklimat mengenai keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes baru-baru ini.

Baginda turut disembah maklum komitmen kerajaan yang akan merujuk kepada Majlis Raja-Raja bagi penetapan dasar berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH.

"Beta menyatakan pandangan yang turut dipersetujui Yang di-Pertuan Agong bahawa perkara itu perlu dibawa terlebih dulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras fungsi menasihatkan Raja-Raja Melayu menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat persekutuan.

"Selain itu, ia melibatkan sensitiviti agama yang perlu dimuktamadkan segera oleh kerajaan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab," titah baginda menerusi kenyataan Istana Alam Shah pada Rabu.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI percaya, pandangan MKI penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah ALLAH.

Sehubungan itu, tegas baginda, semua pihak diminta menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam.

Sultan Sharafuddin bertitah, penyelesaian isu itu perlu dibuat secara berhati-hati dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan tanpa memprejudis hak orang lain untuk menganut dan mengamalkan agama mereka.

"Beta juga menyeru semua pihak tidak mempolitikkan, membangkitkan atau membahaskan isu itu lagi sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad.

"Ini bagi memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia akan kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi," titah baginda.