Terbuka Singapura: Kecederaan sekat kemaraan Pearly-Thinaah

Beregu utama wanita negara bermula baik ketika berdepan wakil Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi sebelum kehilangan momentum susulan kecederaan dialami Pearly sehingga mereka tewas di set pertama 13-21, pada perlawanan di Stadium Tertutup Singapura. - Foto Facebook BAM

A
A
A

KECEDERAAN dipercayai di siku kanan, memaksa pemain beregu wanita negara, Pearly Tan mengakhiri perjuangan bersama pasangannya M. Thinaah, setakat pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2023 pada Rabu.

Beregu utama wanita negara itu bermula baik ketika berdepan wakil Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi sebelum kehilangan momentum susulan kecederaan dialami Pearly sehingga mereka tewas di set pertama 13-21, pada perlawanan di Stadium Tertutup Singapura.

Bagaimanapun, juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu tidak memberikan laluan mudah dan bangkit dengan kemenangan di set kedua 21-17.

Selepas ketinggalan 9-16 di set penentuan, Pearly mengambil keputusan menarik diri sekali gus menyaksikan beregu Jepun di ranking ke-23 dunia itu mara ke pusingan kedua.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii menepati ramalan apabila mara ke pusingan seterusnya selepas menundukkan Christo Popov-Toma Junior Popov dari Perancis.

Yew Sin-Ee Yii yang juga merupakan pilihan kelapan kejohanan melakar kemenangan 21-18, 21-13 selepas pertarungan 31 minit. - Bernama