'Ada peserta lulus tapisan MM2H rupanya pengintip' - Saifuddin

Saifuddin ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Saifuddin ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan negara mempunyai daya tarikan dalam menarik lebih ramai peserta berkualiti menyertai program Malaysia My Second Home (MM2H) susulan syarat-syarat baharu diperkenalkan bagi permohonan tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tapisan keselamatan bagi permohonan MM2H diperketatkan bagi memastikan tidak ada sebarang peserta yang terlibat dalam aktiviti pengintipan seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.

“Peserta mestilah lulus tapisan keselamatan kerana sebelum ini ada yang lulus tetapi rupanya terbabit dalam aktiviti pengintipan.

“Oleh itu, kita ketatkan syarat, rasionalnya kita harap untuk mendapat peserta yang betul-betul berkualiti dan membolehkan Malaysia bersaing dengan negara lain yang turut menawarkan program sama.

“Jadi, statistik berbicara, walaupun permohonan menurun tetapi disebabkan kita pergi kepada kualiti jadi, nilainya jauh beza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berhubung rasional perubahan terkini yang dilakukan terhadap program MM2H pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, menurut beliau, meskipun berlaku pengurangan dari segi permohonan dan kelulusan, namun nilai kewangan yang diperoleh oleh negara tetap hampir sama.

"Kalau ukurannya adalah nilai kewangan, kita luluskan yang lama dengan syarat longgar, dalam lima tahun menjana pendapatan RM1 bilion.

"Dengan syarat baharu ini, dalam masa setahun pendapatan negara (menerusi MM2H) menghampiri RM1 bilion," ujarnya.

Ulas beliau, syarat-syarat baharu yang diperkenalkan dalam MM2H bertujuan memastikan peserta merupakan warganegara berkelakuan baik dan tidak mempunyai mana-mana rekod jenayah.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengekalkan keselamatan dan memastikan kedaulatan negara ini sentiasa terpelihara.

Jelasnya, antara justifikasi lain untuk pengenalan syarat tersebut turut memastikan mereka yang menyertai program MM2H itu merupakan peserta berkualiti, mempunyai keupayaan kewangan dalam berbelanja bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan benar-benar menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua.

“Program yang diperkenalkan perlu kompetitif dan setanding dengan negara-negara luar yang menawarkan program yang sama seperti UAE, Sepanyol, Montenegro, Turkiye, Thailand dan Portugal.

“Memantapkan pengurusan dan pemantauan warga asing yang berkesan bagi memastikan keselamatan negara tidak terancam,” jelasnya.