Annuar Musa sedia tanding PRN

Annuar Musa - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Annuar Musa - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa sedia untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya mendapat tawaran.

Menurutnya, buat masa ini, beliau masih belum mempunyai parti namun mengakui sudah menghantar borang keahlian kepada Pas.

“Saya dahulu tak berparti dan sehingga malam ini (Selasa). Tapi saya telah memohon untuk menjadi ahli Pas, belum lagi diluluskan dan masih tunggu.

“Bagaimana saya nak bertanding dalam PRN sebab parti belum ada? Tapi yang pasti, saya tak akan bertanding sebagai calon bebas. Kalau ditakdirkan saya diterima menjadi ahli Pas setelah saya tak diperlukan ahli UMNO, saya ok (bertanding), saya reda.

“Ini perjuangan dalam politik, saya tak boleh ada dalam UMNO yang falsafahnya sekarang melanggar pegangan hidup saya terhadap DAP. Saya tak boleh terima bukan kerana Melayu atau Cina, tetapi kerana ideologi, perlembagaan dan perjuangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 400 yang bertajuk PRN: Siapa Patut Rakyat Pilih yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Nor Azrina Surip.

Annuar menambah, beliau tidak boleh menerima Tan Sri Lim Kit Siang yang menolak bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam di Parlimen.

“Dia mahu Malaysia menjadi negara sekular, saya tak boleh menerima DAP yang masih lagi berpegang kepada konsep Malaysian Malaysia.

“Jadi, apabila UMNO pergi mengangkat DAP sebagai pasukan mereka, saya tak boleh berada dalam perjuangan begitu. Kalau parti dah lari daripada dasar, kita reda tak berada dalam parti itu, tak ada masalah,” jelasnya.