108 lot tanah Pulau Pinang diguna tanpa kebenaran

Jagdeep
Jagdeep
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 108 lot tanah digunakan tanpa kebenaran telah dikenal pasti oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di kelima-lima daerah di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, sehingga 31 Mac lalu, pemantauan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapati, terdapat 44 lot tanah di kawasan pulau dijalankan kerja tanpa kebenaran.

Menurutnya, bagi di kawasan seberang pula, terdapat 64 lot dikenal pasti Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) iaitu 27 di Seberang Perai Utara (SPU), 33 di Seberang Perai Tengah (SPT) dan empat di Seberang Perai Selatan (SPS).

"Di bahagian pulau, 44 lot tanah itu adalah 11 di daerah Timur Laut, antaranya di Bandar Ayer Itam, Batu Feringghi dan Bukit Bendera. Di daerah Barat Daya pula, ada 33 lot tanah antaranya di Permatang Damar Laut dan Bukit Relau.

"Manakala di kawasan seberang pula, di SPS antaranya adalah Jalan Valdor dan Jalan Che Hussain. Di SPT pula, antara kawasan yang dikenal pasti adalah Kampung Kuala Mengkuang dan Permatang Pauh. Di SPU pula adalah Jalan Pekan Darat dan Jalan Penaga," katanya di Sidang DUN di sini tadi.

Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat (DAP) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Machang Bubok (PKR), Lee Khai Loon mengenai tanah yang dijalankan tanpa kebenaran di negeri ini.

Menjawab soalan mengenai tindakan yang diambil terhadap isu terbabit, Jagdeep berkata, kerajaan negeri telah meningkatkan tenaga kerja yang terbabit dengan pemantauan kerja tanah tanpa kelulusan khususnya di kawasan bukit.

"Kerajaan negeri juga mempertingkatkan masa pemantauan setiap hari dan menyelaraskan tindakan penguatkuasaan bersepadu dengan semua agensi yang berkaitan antaranya Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Ukur dan Pemetaan.

"Kita juga mempertingkatkan pemantauan dengan menggunakan dron di kawasan yang sukar dipantau dari aras jalan selain menggunakan kamera litar tertutup. Kerajaan negeri juga mengeluarkan notis untuk memberhentikan kerja tanah dan memulihkan tanah kepada keadaan asal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jagdeep berkata, kerajaan negeri juga menjalankan operasi merampas jentera selain mengambil tindakan mahkamah dengan denda maksimum RM500,000.

Tambahnya, kerajaan negeri melalui MBPP dalam peringkat akhir proses penggubalan Undang-undang Kecil (Kerja Tanah) 2018 dengan mengambil kira isu semasa dan kepentingan awam.

"Bagi MPSP pula, undang-undang sedia ada iaitu Akta Perancang Bandar dan Desa1976 (Akta 172) dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) sudah memadai sebagai langkah atau tindakan tegas yang boleh diambil ke atas tuan tanah yang ingkar.

"Bagaimanapun, untuk lebih efektif, kerajaan negeri akan mencadangkan kepada kerajaan Pusat untuk menggubal undang-undang bagi hukuman penalti yang lebih berat kepada mereka yang melalukan kesalahan tersebut," katanya.