Empangan Kakhovka pecah angkara sabotaj?

Imej satelit dikeluarkan Maxar Technologies menunjukkan aliran air tidak terkawal di Empangan Khakovka setelah sebahagian strukturnya pecah. - Foto AFP
Imej satelit dikeluarkan Maxar Technologies menunjukkan aliran air tidak terkawal di Empangan Khakovka setelah sebahagian strukturnya pecah. - Foto AFP
A
A
A

KIEV - Sebahagian empangan hidroelektrik era Soviet di selatan Ukraine yang dikawal Rusia dilaporkan musnah pada Selasa ketika Kiev mula memperhebatkan operasi serangan balas berskala besar yang turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Ia sekali gus menggugat kedudukan tentera musuh di bandar Bakhmut yang kini menjadi medan pertempuran utama.

Insiden itu menyaksikan Moscow dan Kiev sekali lagi saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain sebagai dalang bertanggungjawab.

"Empangan Kakhovka berhampiran Kherson itu satu lagi bukti jenayah dilakukan 'pengganas' Rusia," kata Ketua Turus Presiden Ukraine, Andriy Yermak menerusi Telegram.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy juga senada dengan Yermak yang menuduh Rusia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kejadian itu.

"Tindakan memusnahkan empangan itu bermakna mencetuskan 'bencana' berskala besar," tegasnya.

Sementara itu, ketua pentadbiran bandar Nova Kakhovka yang disokong Moscow, Vladimir Leontiev mendakwa kawasan tadahan air itu sengaja diletupkan oleh tentera Ukraine dan memusnahkan injap pintu empangan, sekali gus menyebabkan aliran air tidak terkawal di seluruh zon perang dan kenaikan air dalam waktu singkat.

"Adalah mustahil untuk membaiki empangan itu dalam waktu singkat kerana letupan tersebut telah menghasilkan lubang pada struktur tersebut,' jelasnya.

Beberapa perkampungan dilaporkan mula dinaiki air hingga memaksa langkah pemindahan segera penduduk.

Info:

>Empangan Kakhovka berukuran setinggi 30 meter dan sepanjang 3.2 kilometer (km) ditawan Rusia sejak kempen pencerobohan ke atas Ukraine bermula pada Februari 2022. Ia membekalkan air kepada Semenanjung Crimea yang diilhak Kremlin pada 2014 dan kemudahan nuklear Zaporizhzhia. Insiden itu didakwa tidak mencetuskan ancaman keselamatan nuklear.

>Ia dibina di Sungai Dnipro pada 1956 ketika era Soviet. Sebahagian strukturnya diperbuat daripada konkrit dan tanah. Salah satu infrastruktrur terbesar seumpamanya di Ukraine. Ia menampung kira-kira 18km padu air bersamaan Great Salt Lake di Utah, Amerika Syarikat (AS).