Gerai 'Mok marah jual mahal' hidang pulut santan percuma

Mohd Kamarul (dua dari kanan) memasukkan pulut ke dalam mangkuk untuk diberikan kepada pelanggan di gerai durian di Jalan Gambang-Kuantan pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Mohd Kamarul (dua dari kanan) memasukkan pulut ke dalam mangkuk untuk diberikan kepada pelanggan di gerai durian di Jalan Gambang-Kuantan pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga durian menyediakan 90 kilogram (kg) pulut bersama santan untuk dimakan dengan pelbagai jenis durian kepada pelanggan yang membeli raja buah itu di gerainya di Jalan Gambang-Kuantan di sini.

Peniaga durian, Mohd Kamarul Hafsan, 37, berkata, hidangan pulut percuma kepada pelanggan itu hanya ditawarkan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Menurutnya, juadah itu disediakan sebagai salah satu cara bersedekah selepas melihat pelanggan lebih suka makan durian terus sebaik sahaja mereka membelinya.

"Ini tahun pertama saya sediakan pulut percuma kepada pelanggan yang berkunjung ke gerai jualan durian terletak di tepi Jalan Gambang-Kuantan di Batu Tiga.

"Ini salah satu cara bersedekah kepada pelanggan yang berkunjung ke gerai 'Mok marah jual mahal', selepas membeli pelbagai jenis durian. Mereka boleh duduk sebentar sambil makan durian dengan pulut di tempat menjamu selera yang disediakan.

Ruang makan turut disediakan oleh Mohd Kamarul bagi memudahkan pelanggan menikmati raja buah itu.
Ruang makan turut disediakan oleh Mohd Kamarul bagi memudahkan pelanggan menikmati raja buah itu.

"Sambil berniaga durian kampung termasuk klon seperti musang king, Kunyit, udang merah, IOI, kasak merah dan tupai king pada harga berpatutan, saya berharap pahala diterima dengan cara menyediakan hidangan istimewa pulut santan," katanya ketika ditemui di gerai buah miliknya pada Selasa.

Mohd Kamarul memberitahu, sebanyak 90kg pulut bersama santan, gula putih dan nisan kerek yang dipotong kecil disediakan bermula jam 6 petang pada hari yang telah ditetapkan.

Beliau percaya, niat kongsi rezeki hasil jualan durian dengan pelanggan yang disediakan setiap minggu itu tidak menjejaskan pendapatannya, sebaliknya dapat menambahkan rezekinya sebagai peniaga apabila ramai pelanggan datang ke gerai.

"Pelanggan pun suka, mereka boleh nikmati menu ini yang terkenal di Pantai Timur terutama setiap kali musim durian.

"Saya pun suka bila 30kg pulut yang disediakan licin. Jadi dalam tempoh tiga hari, saya hanya peruntukkan 90kg pulut sahaja," ujarnya yang sudah musim ke lima menjual durian di sini

Beliau yang menjual durian musang king gred A dengan harga antara RM20 hingga RM30 sekilogram memberitahu harga durian jatuh pada musim ini berbanding sebelumnya.

Katanya, pengemar durian boleh menikmati pelbagai durian klon pada harga berpatutan.

"Kini setiap hari saya mendapat bekalan durian dari Johor dan Maran, selepas ini beberapa daerah di Pahang yang menjadi pengeluar utama raja buah terutama Raub, Jerantut, Bentong dan Lipis akan mengeluarkan durian kampung dan klon.

"Disebabkan harga ladang yang rendah dan pengeluaran serentak dan tidak dapat mengeksport durian membolehkan saya menjual raja buah itu pada harga lebih rendah antara RM6 hingga RM30 sekilogram," katanya yang setiap hari menjual lebih tiga tan durian.