Terbang sejauh 1,627 km demi Ramlee Awang Murshid

Fedelia
Fedelia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Demi minat terhadap Ramlee Awang Murshid, seorang wanita sanggup terbang sejauh 1,627 kilometer dari Sabah semata-mata mahu menemui novelis berkenaan.

Juruteknik sektor minyak dan gas, Fedelia Stephaney Sandeh, 32, berkata, dia dari Keningau, Sabah datang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kerana mahu bertemu dengan novelis yang diminatinya sejak di sekolah rendah.

“Saya mula mengumpul novel Ramlee Awang Murshid sejak zaman sekolah rendah dan sebanyak 20 buah buku telah dibeli termasuk hari ini.

Ramlee
Ramlee

“Selain Awang Murshid, saya juga meminati pengkarya lain daripada Karangkraf iaitu Aisya Sofea dan Damya Hanna,” katanya kepada Sinar Harian, pada Ahad.

Ibu kepada dua orang anak itu memaklumkan dia memerlukan tiga hari untuk menjelajah PBAKL dan kos penginapan serta pengangkutan menelan belanja sebanyak RM3,000.

Pekerja swasta, Mohd Izzat Tasnim Mohd Nezri, 26, memberitahu, dia amat meminati karya Ramlee yang disifatkan unik, genre suspens dan membuatkan pembaca berasa seolah-olah berada di alam penceritaannya.

Izzat
Izzat

“Saya sudah lama mengikuti karyanya. Hari ini saya membeli sebuah lagi naskhah bertajuk Mandatori dan menjadikan koleksi novel terkumpul sebanyak 11 buah.

“Hari ini merupakan kali kedua saya hadir untuk PBAKL ke-40 dan alangkah terkejutnya apabila mengetahui Ramlee Awang Murshid ada di reruai Karangkraf,” katanya.

Tambah Mohd Izzat, tanpa melengahkan masa, dia terus ke reruai Grup Buku Karangkraf yang berada di Tingkat 2, Dewan Tun Hussin Onn.

“Buku beliau memang lain daripada yang lain, membuatkan kita ingin tahu apa yang berlaku seterusnya. Ramlee berjaya memainkan emosi pembaca,” ujarnya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Nor Hasimah Hasan, 44, pula berkata, PBAKL membuka peluang kepada peminat-peminat novel untuk berjumpa dengan penulis kegemaran mereka.

Hasimah
Hasimah

“Saya merupakan peminat Ramlee Awang Murshid, setakat ini saya sudah memiliki tujuh buah novel beliau.

“Saya bukan sahaja berpeluang berjumpa dengan Ramlee, tetapi juga dapat bertemu pendakwah, Ustazah Asma’ Harun dan Ustaz Wadi Annuar pada Isnin lalu,” katanya yang datang ke PBAKL bersama suami dan anak-anak.

Ramlee dalam sesi temu ramah bersama peminat di Reruai Grup Kumpulan Karangkraf, WTC
Ramlee dalam sesi temu ramah bersama peminat di Reruai Grup Kumpulan Karangkraf, WTC