Ahli UMNO perlu terbuka kehadiran PM ketika PAU 2023

Ahmad pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Veteran UMNO Johor di Pejabat UMNO Johor pada Ahad.
Ahmad pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Veteran UMNO Johor di Pejabat UMNO Johor pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Akar umbi UMNO perlu berlapang dada menerima kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai tetamu kehormat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah menjemput Anwar dan juga presiden parti gabungan yang lain membuktikan Kerajaan Perpaduan kini seangkatan untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Soal hubungan di dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO perlu berlapang dada di atas kehadiran pemimpin mereka pada PAU 2023.

"Parti-parti Kerajaan Perpaduan semakin seangkatan bersama untuk berdepan dengan perang politik PRN di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Veteran UMNO Johor di Pejabat UMNO Johor di sini pada Ahad.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bakal mencipta sejarahnya tersendiri apabila ia akan turut dihadiri pimpinan tertinggi DAP dan juga Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua presiden parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Anwar akan menghadiri perhimpunan agung yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bermula 7 hingga 10 Jun ini.

Dalam pada itu, Ahmad yang Timbalan Pengerusi UMNO Johor berharap akar umbi UMNO yang kononnya mahu memboikot PAU 2023 itu supaya menerima dinamika politik baharu yang memerlukan keterbukaan minda.

"Mereka perlu memahami konsep-konsep parti demokrasi sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya parti-parti bersama mewujudkan Kerajaan Perpaduan.

"Perkara ini adalah pokok utama kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan yang perlu difahami oleh individu yang cuba menimbulkan polemik," katanya.