Orang Asli boleh bantu SPRM lapor isu rasuah

Razim (lapan dari kiri) bergambar kenangan bersama masyarakat Orang Asli Pos Tuel Lojing sempena Majlis Penutup Program sempena Program Jelajah Antirasuah Alam Sekitar Bersama Komuniti Orang Asli 3.0 di Lojing pada Ahad.
Razim (lapan dari kiri) bergambar kenangan bersama masyarakat Orang Asli Pos Tuel Lojing sempena Majlis Penutup Program sempena Program Jelajah Antirasuah Alam Sekitar Bersama Komuniti Orang Asli 3.0 di Lojing pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Komuniti Orang Asli di negara ini digalakkan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan isu berkaitan rasuah menggunakan pelbagai platform yang disediakan termasuk laman web.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, mereka boleh menjadi ejen menyebar luas mesej antirasuah dan bersama-sama memikul tanggungjawab membanteras rasuah di negara ini.

Menurut beliau, tugas itu diakui mencabar tetapi ia bukan penghalang untuk membentuk Malaysia yang bebas rasuah pada satu masa yang akan datang.

"Kegagalan penguatkuasaan undang-undang terhadap rasuah boleh mengakibatkan berlaku pencerobohan tanah, pembalakan haram dan penebangan hutan.

"Kesan lebih serius apabila flora dan fauna diancam kepupusan, kawasan tadahan hujan semakin berkurang, berlaku peningkatan suhu dan pemanasan global bencana alam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program sempena Program Jelajah Antirasuah Alam Sekitar Bersama Komuniti Orang Asli 3.0 di Lojing pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Pos Tuel, Jabatan Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Atan Alang.

Menurut beliau, lebih mengejutkan kesan kerosakan alam juga mengakibatkan lokasi yang tidak pernah dilanda banjir turut diancam bencana itu.

"Semua situasi itu memberi kesan kepada kehidupan masyarakat khususnya Orang Asli yang mendiami kawasan hutan di negara ini," katanya.

Razim bagaimanapun berbangga dengan pencapaian SPRM yang cemerlang dalam siasatan dan pendakwaan serta khidmat nasihat dan pendidikan masyarakat.

Katanya, ia penting bagi memastikan suruhanjaya itu menjadi antara agensi penguat kuasa undang-undang rasuah yang unggul di peringkat antarabangsa dan seterusnya menjadikan Malaysia bebas rasuah.

"Pembentukan mekanisme 'check and balance' kepada SPRM bertujuan memastikan SPRM menjadi agensi pencegahan rasuah yang lebih bebas, telus dan profesional," katanya.

Melalui ucapan sama, Razim turut menekankan mengenai proses normal kepupusan spesies haiwan dan tumbuhan yang akan diganti dengan spesies lain bagi melengkapkan keseimbangan ekosistem tersebut.

Katanya, kajian mendapati kadar kepupusan meningkat dengan cepat pada zaman ini berikutan beberapa faktor termasuk aktiviti pencemaran dan pertambahan populasi manusia

"Antara spesies haiwan terancam ialah helang dan burung hantu yang memakan tikus sekali gus boleh menjejaskan hasil tanaman," katanya.