Aksi 'Superman', langgar lampu merah, remaja lelaki maut rempuh kereta

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ disahkan maut di tempat kejadian selepas merempuh kereta jenis Proton Persona.
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ disahkan maut di tempat kejadian selepas merempuh kereta jenis Proton Persona.
A
A
A

BAYAN LEPAS - [KEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, berhampiran dengan persimpangan lampu isyarat Astaka Seagate, di sini awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa, Muhammad Akid Mat Rozi, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ disahkan maut di tempat kejadian selepas merempuh kereta jenis Proton Persona dipandu seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta berusia 18 tahun dalam perjalanan dari Queens Waterfront Q1 menuju ke Restoran Pelita di Jalan Tengah.

Menurutnya, ketika sampai di persimpangan lampu isyarat Astaka Seagate, pemandu kereta terbabit membelok ke kanan sebelum dirempuh motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan.

Keadaan kereta rosak teruk selepas dirempuh motosikal dalam kejadian kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, awal pagi Ahad.
Keadaan kereta rosak teruk selepas dirempuh motosikal dalam kejadian kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, awal pagi Ahad.

"Akibatnya, pemandu kereta terbabit mengalami luka di tangan kiri manakala penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan kejadian berkenaan," katanya menerusi kenyataan, di sini pada Ahad.

Ditanya sama ada penunggang motosikal itu sedang berlumba sebelum kemalangan berlaku, Kamarul Rizal berkata, perkara itu masih lagi dalam siasatan polis.

Beliau berkata, pihak polis memandang berat sebarang pelanggaran undang dan peraturan berkaitan lalulintas dan menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang sedia ada.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes terbabit akan disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Video kemalangan itu turut tular di media sosial dan berdasarkan video berdurasi 16 saat tersebut, mangsa dilihat menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dengan melakukan aksi 'Superman' dan sedang bersaing bersama seorang rakannya.