Malaysia satu-satunya negara ziarah bilik jemaah haji

Ziarah Rahmah dapat mengesan lebih awal sekiranya jemaah haji mempunyai penyakit.
Ziarah Rahmah dapat mengesan lebih awal sekiranya jemaah haji mempunyai penyakit.
A
A
A

MAKKAH - Malaysia menjadi negara yang satu-satunya melakukan pemeriksaan bilik ke bilik penginapan bagi mengesan keadaan kesihatan jemaah haji Malaysia yang berada di Tanah Suci.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Tabung Haji (TH), Dr Nur Fatihah Oh Abdullah berkata, program yang dikenali Ziarah Rahmah itu juga turut menjalankan aktiviti promosi kesihatan dan aktiviti pencegahan penyakit berjangkit.

“Kita juga bertanyakan khabar, beri pendidikan kesihatan dan kenal pasti jika ada mereka ada masalah kesihatan akan dirujuk ke klinik ataupun pakar yang berkenaan.

“Seperti mana yang kita maklum, saban tahun ada penyakit-penyakit seperti sistem pernafasan, strok haba...jadi ziarah ini boleh sampaikan maklumat pencegahan kepada jemaah,” katanya kepada media Malaysia di sini pada Sabtu.

Kata Dr Nur Fatihah, melalui aktiviti itu juga, pihaknya dapat mengesan penyakit yang dihadapi jemaah haji lebih awal sebelum ia menjadi lebih serius.

Dr Nur Fatihah
Dr Nur Fatihah

“Kebanyakan jemaah mengadu dari segi masalah pernafasan, batuk, selesema, kulit kering, mungkin sakit lutut dan penyakit-penyakit lain serta kaedah pengambilan ubat yang betul.

“Ada juga kes jemaah yang tidak tahu dirinya sakit tapi bila pasukan pergi ziarah dapat kesan seperti seorang warga emas ini alami dehidrasi sebab kurang air. Jadi tindakan awal ini dapat selamatkan warga emas itu,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya telah menziarahi 12,671 jemaah yang meliputi 2,551 bilik.

Katanya, Ziarah Rahmah itu bermula jam 8 pagi hingga tengah hari kerana kebiasaan pada waktu itu jemaah berada di bilik selepas pulang daripada solat Subuh di masjid.

Petugas kesihatan memberi penerangan kepada jemaah haji lelaki.
Petugas kesihatan memberi penerangan kepada jemaah haji lelaki.

“Kita ada lapan anggota yang terdiri daripada pakar perubatan kesihatan awam, penolong pegawai kesihatan persekitaran dan pegawai perubatan yang terlibat dalam ziarah itu,” katanya.

Ujar Dr Nur Fatihah, pasukannya juga turut dibantu oleh 10 petugas daripada Pusat Rawatan TH bagi memastikan jumlah jemaah yang dilawati dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Kita telah ‘cover’ lebih kurang 87 peratus jemaah di Makkah, Madinah dan daripada jumlah itu, kita telah kenal pasti 175 jemaah yang mempunyai masalah kesihatan dan telah dirujuk kepada klinik berkaitan.

“Insya-ALLAH menjelang dua minggu sebelum hari Wukuf, jumlah bilik yang dilawati boleh mencapai 100 peratus kerana ia penting untuk jemaah kekal cergas sebelum aktiviti Masyair,” katanya.

Hafizah menunjukkan buku kesihatan beliau bertanda hijau yang beerti tiada penyakit kronik.
Hafizah menunjukkan buku kesihatan beliau bertanda hijau yang beerti tiada penyakit kronik.

Sementara itu, seorang jemaah dari Kuala Kangsar, Perak, Hafizah Mohd Said, 62, berkata, program seumpama itu amat bagus kerana mendapat penerangan yang lebih mendalam daripada petugas kesihatan.

"Kita juga boleh tanya secara terus soalan yang pada saya tidak akan ditanya pada taklimat kesihatan yang diadakan secara ramai-ramai.

"Semua ini memudahkan jemaah, jadi saya rasa satu langkah yang sangat baik, Alhamdulillah tahniah kepada semua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia dan TH sebab wujudkan program ini untuk bantu kami,"katanya.

Pada tahun ini, sejumlah 31,600 jemaah akan menunaikan haji dengan penerbangan terakhir dari Kuala Lumpur ke Makkah pada 21 Jun ini.