Padah lagak tunjuk ekzos letup

Antara motosikal yang disita dalam operasi di sekitar Ampang pada Sabtu kerana ubah suai ekzos dan tiada brek belakang. - Gambar kecil: Mohamad Farouk
Antara motosikal yang disita dalam operasi di sekitar Ampang pada Sabtu kerana ubah suai ekzos dan tiada brek belakang. - Gambar kecil: Mohamad Farouk
A
A
A

AMPANG - Mahu menunjuk bunyi ekzos bising antara alasan diberi penunggang motosikal selepas ditahan dalam operasi di sekitar daerah ini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, Op Motosikal dan Op Samseng Jalanan itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bermula jam 11 malam di sekitar Jalan Ampang, Jalan Putra dan Bukit Ampang Saujana.

Menurutnya, dalam operasi tersebut, sebanyak 23 motosikal jenis Yamaha LC135, Yamaha 125Z dan Yamaha Lagenda 110 yang ditunggang remaja berusia 16 hingga 20 tahun turut disita.

"Kesemua motosikal ini disita kerana pengubahsuaian ekzos, tiada brek belakang serta penunggang yang tidak mempunyai lesen memandu.

"Rata-rata alasan diberi mereka yang datang ke Ampang semata-mata mahu ke Bukit Ampang kerana ingin menunjuk kepelbagaian bunyi letupan ekzos serta boleh mengeluarkan percikan api sebelum singgah untuk makan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, tindakan sitaan dibuat di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.

Katanya, kesemua motosikal telah dibawa ke Balai Trafik IPD Ampang untuk proses panggil pemilik dan tindakan tukar serta merta struktur kenderaan yang telah diubah suai.

Dalam pada itu, operasi selama enam jam itu turut mengeluarkan 164 saman atas pelbagai kesalahan trafik seperti nombor plat 'fancy', tiada cermin sisi serta cukai jalan tamat tempoh.

"Kebanyakan individu yang diperiksa bukan berasal dan tinggal di kawasan Ampang. Sesetengahnya datang dari kawasan luar seperti Cheras, Sungai Buloh, Gombak, Rawang dan Kajang," ujarnya.

Jelasnya, operasi ini bertujuan bagi membendung daripada berlakunya aktiviti yang tidak sihat di kalangan remaja.

"Perbuatan yang tidak berfaedah ini bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam dan penduduk setempat malah turut mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.