Penangguhan perlawanan tidak jejas fokus Young Tigress

Perlawanan Malaysia menentang Taiwan aksi Kumpulan A Piala Remaja Asia 2023 di di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries, Kakamigahara, Gifu pada Jumaat ditangguhkan akibat faktor cuaca. - Foto: Malaysian Hockey Confederation
Perlawanan Malaysia menentang Taiwan aksi Kumpulan A Piala Remaja Asia 2023 di di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries, Kakamigahara, Gifu pada Jumaat ditangguhkan akibat faktor cuaca. - Foto: Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

PENANGGUHAN aksi Kumpulan A Piala Remaja Asia 2023, skuad hoki remaja wanita negara menentang Taiwan di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries, Kakamigahara, Gifu berikutan faktor cuaca tidak menjejaskan tumpuan pasukan.

Bagaimanapun menurut pengendali The Young Tigress, Lailin Abu Hassan, situasi cuaca yang tidak dapat dielakkan itu bakal menyaksikan skuad negara akan mengharungi tiga perlawanan padat 'back to back'.

Dalam pada itu, Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengesahkan perlawanan menentang Taiwan dijadualkan jam 11 pagi pada Ahad ini.

Justeru, Lailin mahu para pemainnya kekal fokus dari segi kecergasan dan pemulihan selepas setiap perlawanan.

“Taktikal bagi setiap perlawanan berbeza, sudah tentu kita perlu mencari kemenangan menentang Taiwan dan Uzbekistan.

“Bagi perlawanan menentang India, yang merupakan pasukan pilihan, kita akan merancang strategi mengekang serangan dan mencari peluang untuk membuat serang balas,” katanya.

Sebagai rekod, perlawanan Kumpulan A, The Young Tigress menentang Taiwan pada Jumaat ditangguhkan susulan hujan lebat yang menyaksikan keadaan padang dipenuhi air.

PIALA REMAJA ASIA 2023

Kumpulan A

AHAD (4 JUN)

Malaysia lwn Taiwan, 11 pagi

ISNIN (5 JUN)

Malaysia lwn India, 11 pagi

SELASA (6 JUN)

Malaysia lwn Uzbekistan, 11 pagi

KHAMIS (8 JUN )

Malaysia lwn Korea Selatan, 1 petang