JTK Sabah siasat dakwaan pekerja cuma dapat 2 hari cuti paterniti

Mustapha
Mustapha
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai seorang pekerja yang mengalami trauma berikutan kematian isterinya disamping anak mereka yang baharu dilahirkan dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Penampang baru-baru ini.

Perkara itu tular di media sosial apabila pekerja berkenaan mendakwa hanya menerima cuti selama dua hari ketika isterinya bersalin namun pada hari seterusnya, isterinya ditemui meninggal dunia selepas dia pulang dari tempat kerja.

Prihatin dengan kejadian itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud meminta JTK Sabah mendapatkan maklumat tepat daripada pekerja dan majikan berkenaan.

"Menurut sumber daripada majikan, mereka telah dimaklumkan oleh pekerja berkenaan bahawa isterinya telah bersalin dan telahpun diberi cuti paterniti selama dua hari untuk urusan berkaitan selain turut dibenarkan mengambil cuti tahunan sehingga urusannya selesai.

"Majikan juga menyatakan selepas enam hari kelahiran, pekerja berkenaan datang bekerja seperti biasa dan memaklumkan pada pagi itu bahawa anak serta isterinya dalam keadaan sihat namun selepas pulang dari tempat kerja, isterinya telah meninggal dunia manakala anaknya berseorangan.

"Majikan memaklumkan bahawa bantuan dan sumbangan telah diberikan termasuk urusan ketika di hospital selepas mengetahui perkara itu selain menawarkan sebarang bantuan jika diperlukan oleh pekerja terbabit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mustapha berkata, hasil siasatan lanjut mengenai isu cuti pekerja berkenaan mendapati majikan telah memotong gaji pekerja selama 13 hari semasa tempoh berkabung.

"Pemotongan gaji itu dibuat kerana pekerja tidak memohon sebarang cuti tahunan dan sehingga kini pekerja berkenaan masih belum memaklumkan kepada pihak majikan bila dia akan bekerja semula.

"Namun selepas dinasihati oleh pihak JTK, majikan telah menarik semula potongan tersebut dan telah membayar penuh gaji pekerja berkenaan walaupun menjadi tanggungjawab pekerja untuk memohon cuti tahunan terlebih dahulu jika tidak hadir bekerja.

"Selain itu, mengikut undang-undang juga pekerja perlu bekerja genap dua belas bulan terlebih dahulu untuk melayakkannya mendapat cuti tahunan. Namun atas nasihat JTK Sabah, majikan bersetuju untuk memberi cuti bergaji selama pekerja itu tidak hadir bekerja.

"Saya difahamkan bahawa pekerja ini mula bekerja dengan syarikat ini selama lima bulan iaitu sejak 2 Disember tahun lalu dan dimaklumkan bahawa pekerja hanya hadir tiga hari sepanjang Mei lalu namun pihak majikan tetap membayar gaji penuh untuk bulan tersebut selepas mendapat nasihat daripada JTK Sabah," katanya.

Beliau berkata, usaha mendapatkan kenyataan daripada sebelah pihak masih sedang dilakukan berikutan pekerja berkenaan yang masih dalam keadaan trauma kehilangan isterinya.

"JTK Sabah masih berusaha untuk mendapatkan maklumat daripada pekerja tentang kejadian sebenar yang berlaku pada hari terbabit.

"Bagaimanapun semasa dihubungi, pekerja memaklumkan masih bersedih dan trauma dengan kehilangan isterinya serta masih belum dapat menerima dengan apa yang telah berlaku.

"Pekerja berkenaan memohon kepada JTK Sabah agar diberi tempoh untuk menenangkan fikiran terlebih dahulu sebelum memberi sebarang kenyataan dalam perkara ini," katanya.

Sehubungan itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar memohon warganet tidak menyalahkan sesiapa dalam kejadian ini kerana pihak majikan masih mematuhi Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) manakala emosi pekerja masih dalam keadaan terganggu.

"Saya telah meminta agar JTK Sabah dapat membantu perkara ini dan menunggu tarikh yang sesuai untuk bertemu dengan pekerja berkenaan," jelasnya.