Ahmad Zahid bawa UMNO tumpang rezeki DAP - Wan Saiful

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewujudkan kerjasama dengan DAP membuatkan ramai ahli parti tersebut berasa tidak selesa dan ingin berhijrah.

Justeru, Wan Saiful berkata, terdesak dengan impak tindakan berkenaan, Timbalan Perdana Menteri itu kini cuba melakar imej buruk kepada kepada Perikatan Nasional (PN).

“Ahmad Zahid semakin terdesak kerana pilihan raya negeri (PRN) sudah dekat. Dia telah membawa UMNO menjadi sebuah parti yang menumpang rezeki daripada DAP. Sudah pasti akar umbi UMNO tidak selesa dan ramai yang mahu berhijrah.

“Saya melihat arahan beliau kini hanya untuk mengalih perhatian rakyat dan menutup kegagalan Pakatan Harapan (PH)- umno yang semakin terserlah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Ahmad Zahid baru-baru ini meminta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memantau hantaran berkisarkan naratif kaum dan agama yang dimainkan pemimpin politik di laman sosial untuk diambil tindakan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, menurut laporan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), orang politik menggunakan isu agama dan perkauman menerusi laman sosial untuk kepentingan politik.

Ujarnya, dalam soal pembangunan negara, budaya menghormati agama dan bangsa perlu diterapkan oleh semua pihak meskipun berbeza fahaman politik.

Dalam pada itu, Wan Saiful menolak tanggapan bahawa PN merupakan gabungan politik yang bersifat perkauman.

Tambahnya, PN sentiasa memperjuangkan kemakmuran negara bersama untuk dinikmati semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama.

"Tatkala PH- UMNO semakin gagal menjaga kebajikan rakyat, kami dalam PN terus bercakap mengenai perkara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar, kawalan harga, bantuan kos sara hidup, dan banyak lagi,” jelasnya.

Kata beliau, apa yang pasti kini, Kerajaan Perpaduan kehilangan sokongan daripada pengundi Melayu.

"Ia adalah fakta yang perlu dibicarakan secara terbuka oleh semua yang prihatin mengenai hala tuju negara, bukan sahaja oleh orang politik tapi juga ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam," jelasnya.