Jemaah haji ceria dapat nikmati makanan citarasa Malaysia

Mohd Haruji melayani pelanggan di kafeteria di Abraz Janadriyah, di Makkah.
Mohd Haruji melayani pelanggan di kafeteria di Abraz Janadriyah, di Makkah.
A
A
A

MAKKAH - Jemaah haji Malaysia yang akan berada di bumi Makkah melebihi tempoh sebulan tidak perlu bimbang ‘merindui’ masakan citarasa Malaysia kerana Tabung Haji (TH) menyediakan kafeteria di bangunan penginapan masing-masing.

Kafeteria berbayar berkenaan adalah nilai tambah disediakan TH untuk kemudahan jemaah selain daripada hidangan wajib makan tengah hari dan makan malam yang diperuntukkan khas kepada jemaah.

Kafeteria yang diuruskan TH Travel beroperasi mulai jam 4.30 pagi hingga jam 11.30 malam itu menyediakan makanan untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan hidangan waktu petang serta makan malam.

Menurut seorang petugas kafeteria di Abraj Al Janadriyah, Mohd Haruji Mohd Yahya, antara menu yang dijual ialah nasi lemak, roti canai, mi goreng, nasi kerabu, laksam, kuih seperti seri muka, karipap, roti jala dan pulut kuning.

Teh tarik menjadi minuman wajib jemaah haji Malaysia.
Teh tarik menjadi minuman wajib jemaah haji Malaysia.

Katanya, minuman kegemaran rakyat Malaysia iaitu teh tarik, teh ais, minuman bercoklat dan pelbagai jenis minuman jus turut dijual.

Haruji berkata, pihaknya membawa tukang masak dari Malaysia untuk menyediakan masakan di kafeteria berkenaan supaya rasa dan keunikan makanan tanah air kekal walaupun kebanyakan bahan mentah dibeli di Arab Saudi.

“Produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti keropok, sos cili dan kicap serta sambal kita bawa terus dari Malaysia,” katanya kepada media Malaysia di Hotel Abraz Al Janadriyah, di sini.

Mohd Haruji ketika ditanya hasil jualan harian di kafeteria itu berkata, anggaran yang diperolehi ialah sekitar 40,000 Saudi Riyal.

“Di kafeteria ini kita turut memudahkan urusan pembayaran jemaah apabila mereka boleh membayar dengan QR Pay kod dalam Ringgit Malaysia dan kita akan convert dalam Saudi Riyal untuk jumlah sebenar caj dikenakan,” katanya.

Seorang jemaah dari Kota Bharu Kelantan, Azizi Aliass, 49, berkata, nasi lemak dan mi goreng menjadi menu kegemarannya setiap kali berkunjung ke kafeteria itu.

“Alhamdulilah banyak makanan dari Pantai Timur dijual di sini yang memberikan banyak pilihan kepada pelanggan,” katanya.

Seorang lagi jemaah, Armiya Abdul Halim, 55, dari Sungai Petani Kedah berkata, semenjak tiba di sini, kafeteria itu menjadi tempat yang sering dikunjunginya.

Armiya
Armiya

“Saya suka beli nasi lemak dan teh tarik. Harga di sini berpatutan jika nak dibandingkan dengan restoran di luar sana,” katanya.

Sementara itu, ketika tinjauan di Safwa Tower pada Khamis, rata-rata jemaah Malaysia mulai berkumpul di restoran D'Saji yang menyajikan makanan Malaysia.

Seorang jemaah haji Malaysia, Zainodin Nor, 62, dari Pasir Puteh Kelantan berkata, restoran berkenaan menjadi lokasi wajib bersama rakan-rakan kerana menyediakan menu yang mempunyai rasa sama seperti di Malaysia.

Zainodin (kiri) ceria bersama rakan-rakan ketika berada di Safwa Tower.
Zainodin (kiri) ceria bersama rakan-rakan ketika berada di Safwa Tower.

“Saya suka beli nasi goreng dan teh tarik, ini adalah lokasi kegemaran saya dan harga di sini sesuai dengan kedudukannya berdekatan Masjidil Haram,” katanya.