'Politik kepartian adalah ijtihad politik' - Khairuddin

Kenyataan di Facebook Khairuddin (Gambar kecil)
Kenyataan di Facebook Khairuddin (Gambar kecil)
A
A
A

SHAH ALAM - Jika setiap parti di negara ini bersaing menampilkan manifesto dan kejayaan masing-masing untuk menguruskan kerajaan maka ia adalah persaingan politik bukannya permusuhan politik, kata Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Bekas pemimpin Pas itu berkata, amat sukar untuk setengah pihak menerima bahawa politik kepartian adalah ijtihad politik.

"Penglibatan setiap parti yang berasaskan kecenderungan Islam dalam pilihan raya adalah persaingan untuk merebut kuasa dan berlumba menampilkan siapa yang terbaik untuk menguruskan kerajaan Malaysia.

"Dalam konteks Malaysia, kita ada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara selain Sultan dan Raja sebagai ketua negeri. Parti-parti bersaing menawan hati rakyat dengan agenda mereka untuk menjadi ketua kerajaan mewakili Yang di-Pertuan Agong atau Sultan sama ada Perdana Menteri di peringkat persekutuan atau Menteri Besar dan Ketua Menteri di peringkat negeri.

"Jadi sekiranya UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas, Amanah, DAP, MCA, Gerakan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Warisan bersaing menampilkan manifesto dan kejayaan masing-masing menguruskan kerajaan maka ia adalah persaingan politik bukannya permusuhan politik," katanya di Facebook pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, jika mereka bekerjasama membentuk persepakatan maka ia adalah ijtihad masing-masing mengikut masa dan keadaan kerana keperluan perjuangan parti masing-masing.

"Persepakatan mungkin dibina hari ini dan dirungkai esoknya.

"Saingan politik menjadi rakan kerjasama dan rakan kerjasama bertukar menjadi saingan dan lawan politik maka itulah demokrasi berparti dan berpilihan raya," jelasnya.