Eddin Syazlee digugurkan sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan

Eddin Syazlee, mesej tular mengenai pengguguran Eddin Syazlee.
Eddin Syazlee, mesej tular mengenai pengguguran Eddin Syazlee.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith digugurkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.

Perkara berkenaan disahkan oleh Setiausaha PN Negeri Sembilan, Nazree Yunus.

Menurut Nazree, kepimpinan PN Negeri Sembilan turut dimaklumkan mengenai perkara tersebut ketika dalam mesyuarat lewat petang Rabu.

"Kebetulan semalam kami ada mesyuarat dan beliau maklumkan yang kami perlu terus gerak kerja. Itu nasihat daripada dia... selain meminta kami bertenang serta akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti.

"Ya... beliau juga menerima dengan hati yang terbuka berhubung perkara tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, makluman mengenai pengguguran Eddin Syazlee daripada jawatan tersebut tular di aplikasi WhatsApp sejak Khamis.

Berdasarkan mesej tular berkenaan, Eddin Syazlee menjelaskan surat penggugurannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Negeri Sembilan diterimanya melalui WhatsApp.

Katanya, sebagai ahli parti beliau akur dan menerima keputusan tersebut.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua sahabat ahli jawatankuasa yang banyak berkorban membantu saya sepanjang saya menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Badan Perhubungan Negeri/Pengerusi Bersatu Negeri.

"...Dan Majlis Tertinggi PN malam tadi telah dimaklumkan mengenai pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan berkuat kuasa serta merta," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:'Hanya pertukaran biasa, tiada isu' - Eddin Syazlee

ARTIKEL BERKAITAN:Ahmad Faizal Pengerusi PN Negeri Sembilan yang baharu