'Hanya pertukaran biasa, tiada isu' - Eddin Syazlee

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith menjelaskan pengguguran beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan adalah pertukaran biasa.

Menurutnya, tumpuannya kini adalah gerak kerja parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

"Sekarang ini tak ada isu, tumpukan gerak kerja, saya tak ada masalah apa- apa dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

"Kita akan lakukan yang terbaik untuk memperkukuhkan jentera parti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau turut menasihatkan ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar tidak salah faham mengenai perkara tersebut.

"Jangan salah terima (salah faham) perkara-perkara macam ini sebab dalam politik ini perkara biasa, pertukaran biasa," katanya.

Dalam masa sama beliau turut menegaskan masih lagi ahli Bersatu dan tetap bersama parti.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Eddin Syazlee digugurkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.

Perkara berkenaan disahkan oleh Setiausaha PN Negeri Sembilan, Nazree Yunus.

Menurut Nazree, kepimpinan PN Negeri Sembilan turut dimaklumkan mengenai perkara tersebut ketika dalam mesyuarat lewat petang Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN:Eddin Syazlee digugurkan sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan

ARTIKEL BERKAITAN:Ahmad Faizal Pengerusi PN Negeri Sembilan yang baharu