Scammer pun dah pandai guna AI tipu mangsa

Sindiket penipuan antarabangsa turut mengambil kesempatan menyalahgunakan teknologi AI untuk memperdaya mangsa.- Gambar hiasan
Sindiket penipuan antarabangsa turut mengambil kesempatan menyalahgunakan teknologi AI untuk memperdaya mangsa.- Gambar hiasan
A
A
A

TEKNOLOGI kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) kini semakin popular. Keupayaan dan kemampuannya menyelesaikan kerja yang kompleks bagi menjimatkan masa, juga tenaga manusia.

Di sebalik kecanggihan tersebut, sindiket penipuan antarabangsa turut mengambil kesempatan menyalahgunakan teknologi AI untuk memperdaya mangsa.

Sebuah portal berita melaporkan, seorang scammer di China menyamar sebagai ahli perniagaan dan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah jutaan yuan kepadanya. Mangsa dikenali sebagai Guo menerima panggilan video daripada individu yang kelihatan seperti teman rapatnya.

Pemanggil sebenarnya scammer yang menggunakan teknologi AI untuk mengubah wajah dan suaranya.

Guo dipujuk memindahkan 4.3 juta yuan (RM2.8 juta) daripada akaun syarikat selepas scammer tersebut mendakwa seorang lagi rakan mereka memerlukan wang untuk membayar jaminan kepada tender awam.

Suspek kemudian meminta nombor akaun bank peribadi Guo dan memaklumkan jumlah wang sama telah dipindahkan ke akaun syarikat itu serta turut menghantar tangkap layar skrin rekod pembayaran palsu.

Mangsa membuat dua pembayaran mengikut jumlah diminta tanpa memeriksa terlebih dahulu.

Mangsa menjelaskan, dia tidak berasa ragu-ragu kerana individu tersebut sememangnya mempunyai paras wajah persis rakannya. Guo hanya menyedari ditipu apabila menghubungi rakannya yang mendakwa tidak tahu-menahu tentang perkara itu.

Mangsa terus bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa dan memaklumkan kepada salah sebuah bank supaya membatalkan transaksi berkenaan. Dia bagaimanapun berjaya memperoleh semula 3.4 juta yuan (RM2.2 juta).

Satu lagi laporan media melaporkan, scammer kini semakin bijak apabila menggunakan teknologi AI untuk meniru suara seseorang yang dikenali mangsa, kemudian memperdayakannya untuk mendapatkan wang.

Seorang wanita warga emas, Ruth Card, 73, mendakwa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mempunyai suara hampir sama seperti cucunya, Brandon di Kanada. Pemanggil itu mendakwa kononnya berada di penjara dan memerlukan wang tunai untuk jaminan.

Card dan suaminya, Greg Grace bergegas ke bank lalu mengeluarkan wang sebanyak 3,000 dolar Kanada (RM9,869).

Pasangan itu kemudian bergegas ke cawangan bank kedua untuk mengeluarkan lebih banyak wang, namun seorang pengurus bank memberitahu ada pelanggan menerima panggilan sama. Suara di dalam telefon itu sebenarnya dipalsukan.

Kes seperti ini mungkin belum pernah terjadi di Malaysia, namun tidak mustahil akan berlaku satu hari nanti. Taktik penipuan penyamaran suara merupakan kedua paling popular di Amerika, dengan lebih 36,000 laporan tentangnya pada tahun 2022.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye sebelum ini dilaporkan berkata, sindiket penipuan siber kini menggunakan pelbagai kaedah baharu dan peranti terkini untuk memperdayakan mangsa.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan panggilan tidak dikenali untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa.

Malah, Lam Thye turut menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa menganjurkan program kesedaran berkaitan pelbagai taktik penipuan terbaharu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, faktor psikologi dan takut apabila menerima ugutan daripada scammer menjadi faktor ramai individu terjerat.

Beliau bagaimanapun terkilan kerana kes tersebut terus berlaku walaupun sudah banyak usaha dilakukan pihak berkuasa untuk mendidik orang ramai.

Banyak juga peringatan dikeluarkan mengenai bahaya scammer dalam media massa tetapi masih ada rakyat termasuk golongan terpelajar yang tidak sedar atau mudah terganggu emosi apabila menerima panggilan sedemikian.

Oleh itu, bagi mengelakkan ditipu, orang ramai dinasihatkan menggunakan portal dan aplikasi Semak Mule bagi memeriksa akaun bank dan nombor telefon yang digunakan sindiket penipuan.

Selain itu, mereka yang berdepan penipuan siber digesa menghubungi segera Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 supaya tindakan selanjutnya boleh diambil.

*Ahmad Ismadi Ismail ialah Wartawan Meja Jenayah Sinar Harian