[VIDEO] IPT lubuk utama lahirkan atlet - Adam Adli

Adam Adli ketika Program Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Senat Unisel, Kampus Bestari Jaya pada Rabu. Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Adam Adli ketika Program Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Senat Unisel, Kampus Bestari Jaya pada Rabu. Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Institut Pengajian Tinggi (IPT) merupakan lubuk utama bagi melahirkan atlet-atlet yang bertaraf antarabangsa.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, sebagai contoh, sebanyak 120 atlet yang bertanding di Sukan SEA Kemboja 2023 adalah daripada pelajar IPT.

“65 peratus daripadanya (120 atlet) adalah atlet baharu yang tidak pernah pergi Sukan SEA. IPT terbukti sebagai sebuah platform untuk melahirkan lebih ramai yang boleh mewakili negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Senat Unisel, Kampus Bestari Jaya pada Rabu.

Adam Adli menjadi tetamu kedua selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam program yang dihoskan Syuhaida Ariffin.

Selain itu, menurut beliau, bidang Sains Sukan yang disediakan oleh beberapa IPT juga memainkan peranan penting untuk membangunkan sektor tersebut.

Tambahnya, mengambil contoh negara Jepun yang dahulu penduduknya lebih kecil daripada Malaysia, kini telah menjadi lebih besar seterusnya merupakan kuasa besar dalam sukan dunia kerana berlaku kejuruteraan manusia terutama terhadap atlet.

“Sains Sukan sangat penting. Zaman sekarang macam mana kita nak bangunkan sukan kalau kita tidak dapat bangunkan perkara paling utama dalam sukan iaitu keupayaan fizikal.

“Jepun contohnya sangat ambil serius dengan pembangunan Sains Sukan. Ia bukan hanya semata-mata soal teknikal, tetapi juga masuk kepada pembangunan fizikal. Melahirkan atlet melalui diet, ekosistem, cara berlatih dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, anak muda juga perlu kreatif dalam memastikan pelajar IPT sentiasa bergiat aktif terutama bagi sektor sukan.

“Boleh anjurkan kejohanan terbuka dalam kalangan mereka. Tiada halangan. Pelajar kena aktif buat sendiri. Sukan tidak boleh tunggu orang anjurkan. Sukan kena buat sendiri,” katanya.