Pemuda Pas Kedah perkukuh kerjasama dengan UMNO

Nurul Amin Hamid
Nurul Amin Hamid
A
A
A

ALOR SETAR - Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) kini dalam perancangan untuk membentuk satu jawatankuasa khas di bawah Dewan Pemuda Pas Kedah bagi merangka pelan strategi dan tindakan ke arah memperkukuhkan taawun Pas dan UMNO di negeri ini.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, perkara itu dilihat penting dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi penyatuan ummah yang sedang digerakkan oleh kedua-dua parti secara langsung dan tidak langsung.

Menurutnya, blok pembangkang perlu diperkuatkan melalui konsep tolong-menolong dalam setiap perkara kebaikan di antara umat Islam yang dilakukan secara bersama.

"Kerjasama baik dapat dilihat di antara Pas dan UMNO Kedah di dalam beberapa perkara antaranya menghantar memorandum berkaitan isu hina nabi.

"Ukhuwah diperkukuhkan lagi dalam pelbagai program seperti berada di atas pentas ceramah yang sama termasuk penglibatan dalam sukan seperti bola sepak dan futsal," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum itu, pada 27 April lalu, DPPNK telah memilih Nurul Amin sebagai ketua pemuda baharu bagi sesi 2019 - 2021 pada muktamar kali ke-53 di Baling.

Mantan Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah ini dipilih menggantikan Mantan Ketua Pemuda Pas Kedah yang juga ADUN Bukit Lada, Salim Mahmood kerana melepasi had umur.

Jawatan Timbalan Ketua Pemuda baharu telah disandang Nasrun Othman manakala naib ketua pula diisi Mohd Aizat Zakaria.

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapan penggulungannya, Nurul Amin menyifatkan jawatankuasa baharu yang dipilih sebagai generasi yang akan mendepani bentuk cabaran yang lebih hebat lagi iaitu mengukuhkan generasi perpaduan ummah bagi berdepan Kerajaan PH.

Menurutnya, Pemuda Pas pada hari ini mesti mempunyai sifat berani dalam konteks menyatakan kebenaran, menerima perubahan dan pandangan selain berani bertindak dalam melaksanakan kata-kata dalam gerakan kerja Islam.

Majlis perasmian muktamar itu disempurnakan Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.