Dua maut minum arak tiruan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Dua lelaki warganegara Bangladesh dan Myanmar maut selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini selepas keracunan minum arak tiruan.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kedua-dua lelaki berkenaan telah dimasukkan ke ICU HRPB selepas mengalami gejala keracunan metanol 28 April lalu.

“Jabatan Kesihatan Perak telah menerima laporan semalam bahawa kejadian disyaki keracunan metanol yang berlaku di Daerah Kinta di mana kedua-dua lelaki ini mengalami gejala keracunan metanol.

"Antara gejala yang dialami adalah seperti kabur penglihatan, loya, muntah, sakit perut serta kurang sedar dan kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal semasa dimasukkan ke hospital," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Lay Ming, siasatan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan mempunyai sejarah minum minuman beralkohol sebelum mengalami simptom keracunan metanol.

"Sampel klinikal daripada kedua-dua kes telah dihantar ke makmal untuk mengesan metanol dan keputusannya belum diterima dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian ini.

"Kita juga akan mempertingkatkan pemantauan minuman beralkohol di pasaran di samping meminta orang ramai agar mengelakkan pengambilan minuman beralkohol tiruan," katanya.

Lay Ming turut menasihati sekiranya terdapat individu yang mengalami gejala keracunan metanol seperti sakit perut, sesak nafas, kabur penglihatan, loya, muntah, pening atau sakit kepala yang teruk, dan kekejangan kaki segera ke hospital mendapatkan rawatan.

Artikel Berkaitan: