Motosikal bergesel punca dua lelaki bergaduh di CIQ BSI

Tangkap layar sebuah video yang tular memaparkan dua lelaki bergaduh di CIQ BSI, Johor Bahru selepas motosikal mereka bergesel.
Tangkap layar sebuah video yang tular memaparkan dua lelaki bergaduh di CIQ BSI, Johor Bahru selepas motosikal mereka bergesel.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki yang bekerja di Singapura kerana bergaduh selepas motosikal mereka bergesel di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pergaduhan itu berlaku kira-kira jam 4 petang ketika masing-masing dalam perjalanan pulang dari arah Singapura ke Malaysia.

"Kejadian itu menyebabkan mereka mula bertengkar sebelum bergaduh dan saling berbalas tumbukan apabila melepasi kaunter M-Bike.

"Kejadian ini berpunca apabila motosikal dinaiki salah seorang suspek tergesel motosikal ditunggang seorang lagi suspek di laluan motosikal di CIQ BSI," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini pada Rabu.

Jumaat lalu, tular satu video berdurasi 14 saat memaparkan insiden pergaduhan antara penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan seorang lagi suspek lelaki.

Pergaduhan tersebut menyebabkan laluan tersebut menjadi sesak hingga menyebabkan penunggang motosikal yang lain berada di lokasi terpaksa meleraikan pertelingkahan itu.

Raub berkata, suspek pertama berusia 27 tahun telah ditahan kini masih dalam tahanan reman selama empat hari sehingga Khamis.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap suspek itu mendapati lelaki itu positif dadah jenis ganja.

Tambah beliau, pemeriksaan yang dijalankan mendapati lelaki terbabit mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah.

"Seorang lagi suspek berusia 34 tahun telah ditahan semalam di sekitar daerah ini dan perintah remannya akan dipohon hari ini," katanya.

Menurut Raub, tiada kecederaan dilaporkan ketika kejadian namun terdapat penggunaan senjata ketika mereka bergaduh.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.