Pendekatan drastik kurangkan penggunaan produk tembakau

Penggunaan produk tembakau termasuk rokok dan vape dalam kalangan masyarakat masih lagi tinggi di negara ini. - Gambar hiasan 123RF
Penggunaan produk tembakau termasuk rokok dan vape dalam kalangan masyarakat masih lagi tinggi di negara ini. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan produk tembakau termasuk rokok dan vape dalam kalangan masyarakat masih lagi tinggi di negara ini.

Kesan tabiat penggunaan produk itu sendiri boleh membawa kepada pelbagai risiko kesihatan kepada perokok termasuk serangan jantung dan kanser paru-paru.

Justeru, saranan daripada Penyelaras Kawalan Tembakau, Inisiatif Malaysia Bebas Asap Rokok, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berhubung isu ini merupakan satu syor tepat dalam mewujudkan generasi penamat (GEG) tembakau.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menaikkan harga rokok sebagai langkah mengurangkan penggunaan produk tembakau bagi mencapai sasaran Malaysia Bebas Asap Rokok menjelang 2045.

Ujar Muhammad Sha'ani, cadangan itu dibuat bersempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2023 yang disambut pada Rabu yang bertemakan 'Kita memerlukan makanan, bukan tembakau'.

Seiring dengan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia, peranan proaktif masyarakat serta kerajaan dalam membawa agenda Malaysia Bebas Asap Rokok perlu penglibatan semua pihak berkepentingan.

Jika berjaya usaha itu dilakukan, ia secara langsung dapat membantu masyarakat dalam menghindari tabiat memudaratkan kesihatan, pembaziran dan menjadi punca kepada kerosakan alam sekitar.

Menurut beliau lagi, kerajaan dicadangkan agar memperuntukkan seluruh kutipan cukai tembakau dan alkohol untuk perkhidmatan rawatan berhenti merokok dan penggunaan alkohol.

Selain itu, jelasnya, kerajaan juga disyorkan menyegerakan pelesenan semua jualan runcit produk tembakau di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (Pelesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau) 2011.

Tambahnya, FOMCA turut menggesa kerajaan agar Perkara 3.8.2 Kod Amalan Kualiti Udara Dalaman 2010 dipinda supaya semua tempat kerja menjadi kawasan larangan merokok memandangkan sebarang tindakan merokok di ruang dalaman boleh menjadikan kualiti udara tidak mematuhi aras standard kualiti udara dalaman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagaimanapun, tidak dinafikan masalah global ini dilihat berlanjutan dan tidak ada jalan penyelesaian sehingga sekarang meskipun sudah berapa kali kerajaan bertukar kepimpinan.

Sekiranya kerajaan tidak begitu mengambil serius dalam membendung permasalahan ini, isu rokok dan vape akan berlarutan sehingga generasi akan datang.

Lebih membimbangkan lagi, asap-asap rokok itu juga memberi implikasi kepada orang berdekatan sekiranya merokok di tempat awam seperti kedai makan.

Oleh itu, sudah tidak perlu lagi bertolak ansur dan bertindak ‘playsafe’ (langkah selamat) supaya golongan perokok ini terjaga. Kesihatan orang ramai yang tidak merokok terutamanya kanak-kanak perlu dilindungi.

Pendekatan drastik daripada pihak berkepentingan perlu dilaksanakan secepat mungkin dalam membendung permasalahan ini seterusnya mengurangkan kadar penggunaan produk tembakau dalam kalangan masyarakat di negara ini.