'Tanya banyak soalan, lepas ini saya tiada dah'

Paparan coretan pembaca di Facebook Sinar Harian.
Paparan coretan pembaca di Facebook Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Pagi tadi negara dikejutkan dengan pemergian ulama, pendakwah terkenal, pencinta al-Quran, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz.

Pemergian ilmuan Islam itu pada usia 73 tahun menerbitkan perasaan sedih, hiba dan sayu dalam hati rakyat Malaysia sementelah beliau merupakan antara tokoh agama Islam termasyhur.

Kebanyakan rakyat Malaysia meluahkan kesedihan mereka di laman sosial, berkongsi kesayuan kerana negara kehilangan agamawan yang penuh ilmunya.

Berkongsi coretan dalam hantaran di Facebook Sinar Harian, Faizah Mohdhusain menulis sahabatnya beruntung kerana semalam Allahyarham berceramah di surau taman perumahan rakannya itu.

“Berkali-kali Allahyarham pesan jangan tinggal solat dan menyuruh jemaah tanya banyak soalan sebab katanya lepas ini dia dah tiada.

“Lepas ini jangan tanya dah, jangan ganggu dah,” tulisnya menceritakan serba sedikit pesanan Allahyarham dalam ceramah malam semalam.

Sementara itu, Nur Anis Syazwani Azman pula menyatakan air matanya menitis tanpa henti sebaik mendapat perkhabaran sedih itu.

“Walau tak pernah bersua muka, ceramah arwah ustaz dalam YouTube, Tanyalah Ustaz dan lain-lain media sosial sentiasa menjadi ikutan.

Artikel Berkaitan:

“Ceramahnya seperti bapa menasihatkan anak-anak. Terasa sampai ke hati. Semoga arwah ustaz ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Wan Johari menulis dia amat menyanjungi Allahyarham dan menganggap ulama itu seorang pendakwah yang baik dan berhati mulia.

“Ya ALLAH, kau limpahkanlah kerahmatan ke atas rohnya kerana hidupnya penuh bermakna buat kami.

“Ya ALLAH, kami amat menyayangi beliau kerana tutur kata dan buah fikirannya penuh hikmah dan dorongan kebaikan kepada kami.

“Ya ALLAH, dia merupakan insan yang terbaik buat kami,” tulisnya.

Bekas Penasihat Agama Istana Negara itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.30 pagi tadi ketika bersiap untuk menghadiri program di Maahad Tahfiz di Kota Raja Ipoh, tengah hari tadi.

Begitupun, Allahyarham dikatakan rebah sewaktu sedang bersiap dan tidak sedarkan diri sebelum mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

Allahyarham Abu Hassan yang merupakan adik kepada dua pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan Allahyarham Ishak Din meninggalkan seorang balu, Rosbi Shabudin, tujuh anak dan 13 cucu.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Andainya Ini Ramadan Terakhir' kuliah terakhir Allahyarham Abu Hassan Din Al-Hafiz

Allahyarham Abu Hassan tokoh dakwah berpengaruh: Mufti Wilayah Persekutuan

Datuk Seri Abu Hassan Din meninggal dunia