JKKP Perak siasat pemandu jengkaut maut dihempap batu kuari

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. - Gambar kanan: Rabaayah
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. - Gambar kanan: Rabaayah
A
A
A

IPOH - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak menjalankan siasatan terhadap kemalangan melibatkan pemandu jengkaut yang maut dihempap batu dianggarkan seberat 10 tan dalam kejadian di sebuah kuari, Simpang Pulai, Sabtu lalu.

Pengarahnya, Dr Rabaayah Daud berkata, pasukan pegawai penyiasat diarahkan menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

"Kita dimaklumkan bahawa kerja-kerja letupan dan pemecahan batu itu telah berlaku pada dua hari sebelum kejadian.

"Jadi untuk itu kita masih lagi menjalankan siasatan. Kita perlu dapatkan maklumat lanjut daripada pihak majikan dan juga rakan-rakan sekerja mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2023 peringkat Negeri Perak yang disempurnakan oleh Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Notis larangan mengarahkan aktiviti pekerjaan di lokasi kejadian dihentikan serta-merta membolehkan siasatan dijalankan secara komprehensif.

"Jika kita dapati memang berlaku pelanggaran yang mana pihak majikan tidak, tiada prosedur ataupun tiada langkah-langkah keselamatan diambil sebelum pekerja melaksanakan tugas tersebut maka kita akan ambil tindakan mungkin dari segi pendakwaan atau kompaun," katanya.

Sinar Harian melaporkan seorang pekerja kuari maut dihempap batu ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan batu di sebuah kuari di Simpang Pulai, Sabtu lalu.

Bongkah batu dianggarkan seberat 10 tan telah jatuh dari ketinggian 25 meter dan menghempap jentera dikendalikan mangsa.