'Saya tidak mahu jadi menteri munafik' - Salahuddin

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengakui kerajaan melalui pasukan penguatkuasaan sering berdepan dengan ugutan dan ancaman bunuh daripada pihak tertentu sepanjang melakukan pemantauan aktiviti penyeludupan minyak masak daripada kartel-kartel di negara ini.

Ujar Salahuddin, beliau tidak menafikan bahawa wujud kartel yang terdiri daripada pembekal dipercayai terlibat dengan isu ketirisan minyak masak bersubsidi.

Bagaimanapun beliau berkata, usaha pihaknya tidak berhenti sebaliknya akan berdepan dengan pihak-pihak tersebut dan berunding bagi memastikan masalah berkenaan dapat diatasi.

"Adakah berlaku ketirisan (bekalan minyak masak) atau penyelewengan? Ada, saya tidak mahu jadi menteri yang munafik.

"Jadi kita hadapi. Cara hadapi, itu skil (kemahiran) kita, cara kita, sebab mereka ini pemain-pemain industri.

"Nak langgar sebarangan tidak boleh, mereka pembekal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, pada Isnin.

Salahuddin menjadi tetamu keempat dalam program yang dihoskan Azhar Sulaiman.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, keperluan negara untuk rakyat membeli minyak masak paket adalah sebanyak 60 ribu tan sebulan.

Tegasnya, pegawai penguatkuasa dengan bantuan kementerian akan menggunakan kuasa sepenuhnya bagi mengawal dan memastikan keberadaan bekalan barangan itu mencukupi di pasaran.

“Gula kita perlukan minimum 42 ribu metrik tan sebulan. Itu bahan-bahan asas yang mesti berada di pasaran, rakyat boleh dapat untuk beli.

“Sebarang penyelewengan, berlakunya penyorokan atau seludup ke luar sempadan, saya rasa setiap minggu ada dalam kalangan mereka yang ditangkap dan didakwa di mahkamah,” ujarnya.