Bekas ADUN Jabi tak sempat tuai hasil kebun kelapa

Anggota keselamatan memadam api daripada merebak dalam kejadian kebakaran kebun kelapa di Kampung Pengkalan Kubur, Tembila di Besut pada Ahad.
Anggota keselamatan memadam api daripada merebak dalam kejadian kebakaran kebun kelapa di Kampung Pengkalan Kubur, Tembila di Besut pada Ahad.
A
A
A

BESUT - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi terkilan kerana tidak sempat menuai hasil selepas kebun kelapa yang diusahakan sejak empat tahun lalu musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Kubur dekat Tembila di sini, pada Ahad.

Mohd Iskandar Jaafar berkata, 60 daripada 300 pokok kelapa yang terdapat di kebunnya musnah dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 tengah hari.

"Saya tanam 300 pokok kelapa di atas tanah berkeluasan lima hektar. Ia sepatutnya sudah boleh dituai akhir tahun ini namun sebahagian daripadanya musnah dalam kebakaran semalam.

"Saya agak terkilan namun bersyukur kerana masih ada kelapa yang terselamat dalam kebakaran itu.

"Syukur juga sebab pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dengan lebih teruk di kawasan lain," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Mohd Iskandar berkecimpung dalam pertanian selepas tidak lagi menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menurut Iskandar, beliau menganggarkan kerugian ditanggung sebanyak RM20,000.

Ujarnya, daripada jumlah itu sebanyak RM12,000 kerugian dianggarkan meliputi 60 batang pokok kelapa yang terbakar sementara RM10,000 lagi kerugian untuk peralatan pertanian yang musnah serta sistem pengairan dalam kebun berkenaan.

Sementara itu, Mohd Iskandar memberitahu, beliau difahamkan kebakaran itu mungkin berpunca daripada puntung rokok.

"Siasatan awal mendapati kebakaran ini mungkin berpunca daripada puntung rokok yang dibuang oleh individu yang lalu lalang di tepi jalan kebun ini.

"Keadaan cuaca panas ketika ini menyebabkan api marak dan boleh merebak dengan begitu cepat," katanya.