Kastam uji e-seal bagi banteras penyeludupan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) sedang mengkaji dan menguji keberkesanan peranti keselamatan elektronik bagi membanteras penyeludupan dan pungutan hasil negara.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, teknologi baharu yang dibangunkan oleh syarikat tempatan itu dikenali sebagai e-seal turut dapat meningkatkan keselamatan kargo dan kebolehkesanan pergerakan kontena dan lori.

"Sekiranya peranti itu dibuka sebelum tiba masanya, ia akan memberi isyarat kepada pusat kawalan untuk tindakan diambil," katanya.

Beliau berkata, teknologi tersebut yang telah digunakan secara meluas di lima negara Afrika Timur akan memantau pergerakan logistik kontena dan lori perdagangan.

"Kastam dapat mengesan jika sesebuah lori berhenti terlalu lama di sesuatu kawasan," katanya menerusi menerusi sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Kastam di sini pada Isnin.

Ahmad berkata pelaksanaan e-seal di Kenya, Uganda, Rwanda, Burundi dan Congo telah meningkatkan kutipan cukai sebanyak 20 peratus.

"Kita juga harap ia dapat meningkatkan kutipan hasil Kastam sebanyak 20 peratus," katanya.

Ujar beliau, projek rintis telah dijalankan beberapa minggu melibatkan beberapa syarikat di Gelang Patah, Johor untuk melihat pergerakan dan transaksi peranti tersebut.

"Dalam tempoh itu ia telah berfungsi dengan baik," katanya yang berharap implementasi teknologi tersebut segera dilaksanakan.

Ditanya mengenai lokasi pusat kawalan bagi teknologi tersebut, Ahmad berkata ia belum diputuskan.

"Pejabat Kastam ada di mana-mana dan pusat kawalan akan ditentukan kemudian selepas ia dimuktamadkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata Kastam tidak berkrompomi berkaitan aktiviti penyeludupan di negara ini.

Menurutnya, sebagai salah satu agensi pemungut hasil negara dan penguatkuasaan pintu masuk negara, JKDM sentiasa tegas dalam menguatkuasakan undang-undang.

"Ini terbukti bagi tempoh lima bulan pertama tahun 2023 jumlah rampasan dadah adalah sebanyak 2,410.224 kilogram (kg) dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM81.39 juta," katanya.

Ujar beliau, canabis merupakan dadah terbesar dirampas iaitu sebanyak 1,307.010 kg diikuti MDMA Ecstasy (1,071.141 kg) Methamphetamine (21.56 kg), Heroin (3.736 kg) dan Eramin 5 (10,003 biji).

"Kastam juga berjaya menumpaskan cubaan menyeludup barang bersubsidi seperti diesel, minyak masak, petrol dan gula dengan 100 kes membabitkan nilai rampasan RM573,688.07 bagi tahun lalu," kata Ahmad.

Sementara, pada tahun 2023 sehingga April lalu, sebanyak 48 kes telah berjaya dipatahkan yang melibatkan nilai rampasan RM432,659.48.