Selamat bercuti cikgu...

Pelbagai inisiatif dan perancangan dilakukan KPM dari masa ke masa dapat melonjakkan lagi kerjaya guru. - Gambar hiasan
Pelbagai inisiatif dan perancangan dilakukan KPM dari masa ke masa dapat melonjakkan lagi kerjaya guru. - Gambar hiasan
A
A
A

WALAUPUN sudah hampir dua minggu berlalu, namun masih belum terlambat buat penulis mengucapkan Selamat Hari Guru buat warga pendidik di Malaysia yang disambut dengan penuh bermakna setiap kali tibanya 16 Mei bukan sahaja di peringkat kebangsaan bahkan juga di sekolah-sekolah.

Apa yang lebih membanggakan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa tampil dengan penuh cakna dalam menjaga kebajikan hampir 300,000 warganya menerusi pelbagai inisiatif saban tahun.

Terbaharu ketika sambutan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi peluang kepada guru untuk merehatkan minda melalui Program Cuti-cuti Cikgu Mampu Milik dalam usaha memperkasakan lagi aspek kebajikan golongan pendidik di negara ini.

Menurut Fadhlina, langkah itu sebagai usaha untuk memberi semangat baharu kepada guru, sekali gus dianggap hadiah kepada golongan itu sempena sambutan Hari Guru tahun ini.

Program cuti cikgu ini ditawarkan melalui potongan harga tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat serta taman tema dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pengangkutan Malaysia serta rakan strategik seperti AirAsia, Traveloka dan Bank Rakyat.

Bukan itu sahaja, bahkan penulis juga ada melihat pengusaha-pengusaha inap desa turut menghargai jasa cikgu dengan menyediakan pakej-pakej yang menarik buat mereka untuk merasai pengalaman dan suasana kehidupan di kampung-kampung.

Secara tidak langsung inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada cikgu untuk bercuti bahkan turut mempromosikan destinasi pelancongan yang menarik selain merancakkan ekonomi setempat dan negara.

Pastinya peluang keemasan ini dimanfaatkan sebaik mungkin buat cikgu-cikgu untuk merehatkan minda bersama keluarga mahupun rakan-rakan setugas berlibur ke destinasi pilihan masing-masing.

Tambahan pula cuti penggal 1 sesi persekolahan 2023/2024 selama sembilan hari sudah pun bermula sejak Jumaat.

Malah ada dalam kalangan rakan-rakan penulis yang mengajar di utara tanah air menghubungi penulis untuk bertanyakan tempat-tempat menarik di Terengganu, penginapan dan juga kedai-kedai makan yang sedap serta kena pada harganya.

Penulis percaya, sambutan Hari Guru dan cuti persekolahan pada kali ini memberi makna buat warga pendidik kerana bukan setakat program percutian sahaja bahkan KPM turut mengumumkan sembilan lagi prakarsa atau inisiatif dalam penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0 termasuk memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan.

Selain itu, KPM juga sedang mengkaji keperluan mewujudkan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugasan yang perlu digalas guru ketika ini dengan melaksanakan tujuh langkah untuk memastikan isu berkenaan dapat ditangani segera bermula sesi persekolahan tahun ini.

Ia termasuklah memansuhkan pertandingan, sambutan atau majlis pada semua peringkat yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran murid sekali gus membolehkan guru kekal fokus kepada pengajaran dan pembelajaran.

Usaha ini, jelas menggembirakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang menyifatkan tiada yang lebih bermakna melainkan kesejahteraan guru diberikan perhatian kementerian sebagaimana dihasratkan bagi memastikan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

NUTP juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada menteri kerana sudah pun melaksanakan tujuh langkah segera ke arah kesejahteraan guru.

Antaranya mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang membabitkan guru kepada setahun sekali.

Tidak terhenti di situ, KPM juga akan membincangkan secara serius cadangan kenaikan gaji bagi guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi, sebagai pengiktirafan kepada golongan pendidik di negara ini.

Jelas Fadhlina, tumpuan utama KPM adalah untuk meningkatkan kualiti guru dari segi kelayakan akademik dan perkhidmatan pendidikan negara serta akan menjadi tumpuan awal kementerian, sebaik saja ekonomi negara pulih.

Beliau turut mengakui bahawa guru-guru di negara ini sangat berkelayakan dan terlatih dalam bidang mereka dan KPM juga tiada sebarang halangan untuk guru-guru menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana ia akan meningkatkan lagi integriti perguruan serta kualiti guru dari masa ke masa.

Pastinya dengan pelbagai inisiatif dan perancangan dilakukan KPM dari masa ke masa dapat melonjakkan lagi kerjaya guru sekali gus mencapai unjuran pengambilan 16,886 hingga 20,081 guru baharu sekolah KPM bagi tahun ini hingga 2027.

* Zubir Sulaiman ialah Editor Pengisian Sinar Harian Online