JAWI tahan 31 pengunjung pusat hiburan

Penguatkuasa JAWI menyoal siasat seorang pelanggan di sebuah premis hiburan yang diperiksa dalam operasi berkenaan.
Penguatkuasa JAWI menyoal siasat seorang pelanggan di sebuah premis hiburan yang diperiksa dalam operasi berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 31 individu ditahan atas kesalahan syariah mengambil minuman memabukkan dalam serbuan bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi berkaitan ke premis hiburan di ibu negara awal pagi Sabtu.

Dalam serbuan itu, seramai 18 lelaki dan 13 wanita ditahan hasil operasi bersepadu DBKL dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

DBKL dalam kenyataannya memaklumkan, operasi itu dijalankan di Jalan Yap Kwan Seng, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan dan Jalan Haji Taib bermula Jumaat jam 10 malam dan berakhir 4 pagi Sabtu.

"JAWI mengeluarkan Surat Perintah Hadir (SPH) kepada individu beragama Islam yang ditahan untuk hadir ke Bahagian Penguatkuasaan JAWI menerusi Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 559).

"Kastam mengambil tindakan sitaan melibatkan beberapa jenis minuman keras terhadap pemilik premis menerusi kesalahan dibawah Akta Eksais 1976 (Akta 176) dan barang yang disita di bawa ke Pejabat Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut," kata kenyataan itu di Facebook pada Sabtu.

Sehubungan itu, kenyataan itu menjelaskan, DBKL membuat tindakan penutupan serta merta terhadap tiga premis di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992 termasuk membuka 3 kertas siasatan (IP) di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan tanpa kebenaran.

Ujar kenyataan itu, sebanyak tiga notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan Dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

"Sebanyak 35 pelbagai peralatan muzik disita melibatkan penutupan tiga buah premis dan barangan sitaan

"Barangan dan peralatan muzik telah dihantar ke stor sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara," jelas kenyataan itu.