Tarik balik tender bekal hologram

Badruddin ketika sidang akhbar di pejabat DPMM, Bukit Petaling pada Jumaat.
Badruddin ketika sidang akhbar di pejabat DPMM, Bukit Petaling pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik balik tender untuk membekalkan label keselamatan hologram bagi produk farmaseutikal berdaftar dengan kementerian berkenaan yang dibuka beberapa minggu lalu.

Presidennya, Datuk Badruddin Abu Bakar berkata, ia berikutan wujud beberapa kepincangan dalam pengiklanan tender perolehan tersebut.

Tegas beliau, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa juga diminta supaya melihat kembali isu tata kelola berhubung tender tersebut bagi membolehkan pengiklanan baharu dibuat.

“Antara kepincangan kita lihat adalah tender bernilai lebih RM120 juta terbuka kepada pembekal yang hanya perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Sedangkan syarat perlu dipatuhi bagi cetakan hologram ialah mempunyai lesen Kementerian Dalam Negeri (KDN), Surat Kelulusan Pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan (CGSO) Jabatan Perdana Menteri dan paling utama ia hanya di-khaskan kepada syarikat 100 peratus bumiputera,” katanya ketika sidang akhbar khas di pejabat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sini pada Jumaat.

Menurutnya, apabila iklan yang dikeluarkan baru-baru ini meletakkan syarat hanya memerlukan pembekal berdaftar dengan SSM, ia dibimbangkan akan berlaku pemberian tender kepada syarikat yang tidak mempunyai kepakaran sepatutnya.

“Kebimbangan ini berasas kerana dalam perjumpaan minggu lalu, saya dapati kira-kira 40 syarikat telah memasuki tender ini, sedangkan kurang daripada 10 pembekal sahaja diperlukan,” katanya.

Tambah Badruddin, antara kepincangan lain turut dikenal pasti adalah harga dokumen bernilai RM5,000 yang disifatkan terlalu mahal, sekali gus akan mengehadkan kemampuan pembekal layak untuk mengambil bahagian dalam tender tersebut.

Katanya, tempoh 21 hari untuk serahan dokumen berserta contoh barang oleh pembekal juga terlalu singkat kerana semuanya perlu dilakukan secara manual.

Sehubungan itu, beliau turut berharap agar selepas ini Kementerian Kewangan dan KKM mengambil serius isu pengiklanan tender yang berkaitan dengan sistem keselamatan kesihatan.

“Kerajaan pada masa sama perlu mengetatkan lagi aspek pematuhan mana-mana agensi kerajaan terhadap pekeliling kementerian berhubung kerja mencetak atau pembekalan melibatkan label keselamatan hologram bagi produk farmaseutikal ditawarkan kementerian, agensi atau jabatan berkaitan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai masa depan industri pencetakan di negara ini, Badruddin berkata, ia masih di landasan yang baik.

“Semua ahli persatuan ini diminta supaya terus bersatu demi survival industri pencetakan bumiputera, selain turut meningkatkan keupayaan perkhidmatan agar kekal berdaya saing.

“Ketika ini kita mempunyai kira-kira 100 ahli dan pihak kami terus komited untuk memperjuangkan masa depan industri pencetakan,” kata beliau.