LBS catat untung bersih RM36.37 juta

Keuntungan itu direkodkan untuk tempoh suku pertama 2023

A
A
A

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN



SHAH ALAM - Syarikat pemaju perumahan, LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM36.37 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Kejayaan membanggakan ini adalah hasil daripada pendapatan RM384.86 juta dan LBS mencatatkan keuntungan 7.6 peratus dari tahun ke tahun.

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keuntungan LBS dengan menyumbang lebih 96 peratus daripada jumlah pendapatan pada RM370.44 juta.

Pendapatan segmen ini sebahagian besarnya didorong oleh kadar pengambilan positif daripada projek utama LBS di KITA @ Cybersouth, Bukit Jalil dan LBS Alam Perdana.

Sehingga 24 Mei 2023, LBS telah memperoleh jumlah jualan hartanah sebanyak RM526 juta daripada hartanah rumah mampu milik dengan tempahan sebanyak RM589 juta.

Bukan itu sahaja, LBS mempunyai 22 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM6.5 bilion.

Pada 30 April 2023, LBS mempunyai jualan tanpa bil sebanyak RM2.39 bilion, yang dijangka akan memberikan pendapatan kukuh untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, pihak syarikat berusaha meningkatkan keuntungan bersih dengan merekodkan margin luar biasa kepada 9.5 peratus berbanding 8.3 peratus bagi suku pertama 2022.

No Image Caption

“Ini berikutan pelan strategik dan kawalan kos yang disiplin bagi mengoptimumkan margin kami. LBS turut merekodkan jualan hartanah sebanyak RM526 juta setakat ini.

“Untuk itu, LBS akan terus melancarkan kempen pemasaran kreatif bagi menarik lebih ramai pembeli, seperti kempen terbaru kami iaitu “Rezeki Ekstra Dikongsi Kembali”.

“Kempen ini menawarkan tawaran menarik kepada pembeli rumah untuk memenangi duit raya bernilai lebih RM438,000 dengan enam ganjaran bonus menarik untuk pembeli rumah LBS,”katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, pihak syarikat turut merancang mengadakan pelancaran projek-projek lain untuk sepanjang tahun 2023 yang dijangka akan meningkatkan jualan hartanah LBS.

“Dengan strategi yang memberi penekanan kepada kehendak pembeli rumah, kami optimis bahawa kami dapat memenuhi sasaran jualan kami.

“Meskipun Bank Negara Malaysia telah meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus, kami percaya bahawa produk kami yang berada dalam lingkungan perumahan mampu milik dan terletak di kawasan strategik akan terus menerima permintaan yang kukuh,”katanya.

Hock San berkata, LBS juga dibantu oleh inisiatif ekonomi yang positif seperti keputusan kerajaan baru-baru ini untuk memberi subsidi harga simen bagi pembinaan rumah mampu milik berharga di bawah RM300,000.

“LBS akan terus beriltizam untuk mengulangi kejayaan pada 2022, dengan komitmen untuk memberikan yang lebih baik kepada pembeli rumah, komuniti dan pihak berkepentingan. Kami optimis bahawa tahun 2023 akan menjadi tahun yang positif kepada kami,”katanya.