Dodgeball intai Sukma Sarawak 2024, Sukan SEA 2025

Radhakrishnan (dua, kiri) memperkatakan sesuatu kepada Adam Adli semasa Kejohanan Dodgeball Jemputan Asia Pasifik (API) di Kompleks Sukan Shah Alam (Stadium Panasonic), Shah Alam.
Radhakrishnan (dua, kiri) memperkatakan sesuatu kepada Adam Adli semasa Kejohanan Dodgeball Jemputan Asia Pasifik (API) di Kompleks Sukan Shah Alam (Stadium Panasonic), Shah Alam.
A
A
A

SUKAN Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 diharap menjadi pentas pencetus penampilan sulung dodgeball yang sedang meningkat naik dalam negara ini bagi dikembangkan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.

Malah menurut Presiden Persekutuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk N Radhakrishnan, badan induk itu telah pun mengusulkan cadangan kepada penganjur jawatankuasa penganjur Sarawak 2024 supaya sukan itu dimainkan di temasya dwitahunan berkenaan.

Jelas Radhakrishnan lagi, cadangan yang mendapat reaksi positif masih dalam perbincangan antara MAD dengan penganjur edisi tersebut.

“Sebenarnya dodgeball bukan sukan baharu di Malaysia dan apabila melihat kepada sambutan masyarakat sudah semestinya kami berharap sukan ini dapat dimasukkan dalam Sukma Sarawak 2024.

“Kami sedang berunding dengan jawatankuasa penganjur Sarawak 2024 supaya dodgeball boleh dianjurkan di Sarawak nanti.

“MAD bergantung kepada mereka yang menganjurkannya, namun jika tidak tersenarai sebagai sukan kompetitif kami harap ia disenarai sebagai sukan pertunjukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Dodgeball Jemputan Asia Pasifik (API) di Kompleks Sukan Shah Alam (Stadium Panasonic), Shah Alam.

Kejohanan Dodgeball Jemputan Asia Pasifik yang disertai 140 kelab daripada 16 negara dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Tambah Radhakrishnan lagi, pengenalan dodgeball di Sukma, juga akan menjadi pencetus langkah memperkenalkan sukan itu di Sukan SEA 2025 di Thailand serta Sukan SEA 2027 apabila negara bergelar tuan rumah.

“Jika kita mahu lihat sukan ini dalam Sukan SEA banyak negara perlu turut serta. Sekarang ini daripada 10 negara Asia Tenggara hanya tujuh yang bermain dodgeball, tapi ia satu penanda aras yang bagus untuk sukan ini dipertandingkan di Sukan SEA,” katanya

Pada masa sama Radhakrishnan memaklumkan dalam kalangan negeri di Malaysia terdapat yang telah menubuhkan persatuan dodgeball masing-masing.

“Pada masa ini MAD menganjurkan Kejuaraan Dodgeball Nasional (NDC) yang merupakan kejohanan kelab yang disertai 100 hingga 200 kelab dari universiti, kolej dan kelab.

“Kejuaraan ini berlangsung selama enam bulan bermula dari Februari hingga Oktober yang dimainkan pada hujung minggu.

“Tumpuan kini adalah untuk menganjurkan saingan liga melibatkan pasukan negeri, dan kami amat berbesar hati daripada 13 negeri, 11 negeri yang aktif memainkan dodgeball.

“Jadi kami berhasrat menganjurkan Liga Dodgeball Malaysia melibatkan pasukan negeri ini yang kami cadang dianjurkan sepanjang Bulan Sukan Negara,” katanya yang memaklumkan hanya Perlis, Sabah dan Labuan tidak mempunyai persatuan dodgeball negeri.