Siapa sebenarnya golongan kaya di Malaysia?

Suasana di sekitar kawasan pusat beli-belah Pavilion. - Gambar hiasan Bernama.
Suasana di sekitar kawasan pusat beli-belah Pavilion. - Gambar hiasan Bernama.
A
A
A

GOLONGAN berpendapatan tinggi atau T20 tidak lagi akan menerima sebarang subsidi elektrik dan haji, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Sebelum ini kerajaan telah mengumumkan tiada lagi subsidi diesel dan petrol RON95 kepada golongan itu seawal tahun hadapan.

Kita menyokong langkah tersebut kerana kumpulan B40 dan M40 adalah lebih layak untuk dibantu. T20 pula kalau sudah mampu membeli rumah dan kenderaan mewah, mereka sepatutnya tidak perlukan lagi subsidi.

Bagaimanapun, bukan semua T20 adalah tauke dan majikan kepada M40 dan B40. Ramai juga yang bekerja makan gaji dan bergelut dengan kenaikan kos sara hidup tetapi dikategorikan T20 kerana mempunyai pendapatan isi rumah RM10,960 ke atas.

Secara umum, isi rumah berpendapatan RM4,850 sebulan ke bawah dikategorikan sebagai B40. Pendapatan M40 pula adalah antara RM4,851 hingga RM10,959 manakala T20 yang digelar golongan kaya berpendapatan melebihi RM10,960.

Dalam kategori T20 terdapat dua pecahan iaitu T1 dengan pendapatan RM10,960 hingga RM15,040 dan T2 (RM15,041 ke atas). T1 menguasai 16 peratus keseluruhan pendapatan isi rumah negara manakala T2, 30.7 peratus, menurut Laporan Survei Pendapatan 2019, Jabatan Perangkaan Malaysia.

Kumpulan B40 merangkumi 2.91 juta isi rumah, M40 juga 2.91 juta manakala T20, 1.46 juta isi rumah. Pada 2019, bilangan isi rumah ialah 7.3 juta dengan purata setiap rumah dihuni 3.9 orang.

Harus diingat penetapan kategori ini adalah berdasarkan pendapatan isi rumah, bukan pendapatan individu.

Sebagai contoh, jika suami isteri bekerja sebagai guru dengan masing-masing memperoleh pendapatan RM6,000 dan RM5,000 sebulan, maka mereka adalah keluarga T20. Mereka perlu membayar cukai pendapatan yang lebih tinggi dan tidak layak menerima subsidi selepas ini.

Justeru mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengkaji untuk menaikkan had pendapatan T20 daripada RM10,960 sekarang kepada angka yang lebih munasabah, misalnya RM13,000 atau RM15,000.

Kita tidak mahu rakyat membina persepsi yang salah terhadap dasar kerajaan berhubung T20. Golongan ini telah berusaha keras untuk menaikkan taraf hidup dan ekonomi keluarga, tiba-tiba ditekan seolah-olah menjadi kaya adalah satu kesalahan.

Sebaliknya terdapat ribuan pekerja dan pendatang asing yang tidak menyumbang apa-apa kepada cukai negara, namun menjarah subsidi tanpa batas.