Jenazah Awang Askandar selamat tiba di hospital Kathmandu

Ketibaan jenazah Awang Askandar di TU Teaching Hospital, Kathmandu.
Ketibaan jenazah Awang Askandar di TU Teaching Hospital, Kathmandu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Allahyarham Leftenan Kolonel Pertahanan Awam, Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di TU Teaching Hospital, Kathmandu jam 4.40 petang waktu tempatan untuk proses bedah siasat dan urusan dokumentasi.

Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan, ketibaan jenazah disambut Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mohd Fadzle Abu Hasan bagi membantu melancarkan proses pengurusan jenazah.

"Proses bedah siasat dan urusan dokumentasi dijangka mengambil masa selama dua hari dan jika ia berjalan lancar, jenazah akan tiba di Malaysia selewat-lewatnya Sabtu," kata KLN.

Dalam masa sama kementerian itu berkata, proses mencari dan menyelamat (SAR) pendaki yang hilang, Muhammad Hawari Hashim masih dijalankan oleh pihak pasukan penyelamat tempatan.

Mohd Fadzle dan Ketua Ekspedisi Malaysia Everest 2023, Azim Afif Ishak menyambut ketibaan jenazah di TU Teaching Hospital, Kathmandu.
Mohd Fadzle dan Ketua Ekspedisi Malaysia Everest 2023, Azim Afif Ishak menyambut ketibaan jenazah di TU Teaching Hospital, Kathmandu.

"Kerajaan Malaysia juga telah mengumumkan sumbangan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi misi mencari dan menyelamat ini.

"Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan proses membawa pulang jenazah dan pencarian pendaki Misi Malaysia Everest 2023 yang masih hilang berjalan lancar.

"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Allahyarham Awang Askandar, 56, yang juga Pengarah APM Kedah meninggal dunia Jumaat lalu selepas berdepan masalah kesihatan pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut kira-kira 20 minit untuk menawan puncak Everest.

Sementara Muhammad Hawari, 33, OKU pendengaran dilapor hilang pada Jumaat selepas menawan puncak Everest.