Rakyat Kelantan muak drama salah-menyalah

Penduduk Kampung Limbat mengambil keputusan menggali telaga tiub berikutan ketiadaan bekalan air bersih daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sejak beberapa bulan lepas. - Gambar fail Bernama
Penduduk Kampung Limbat mengambil keputusan menggali telaga tiub berikutan ketiadaan bekalan air bersih daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sejak beberapa bulan lepas. - Gambar fail Bernama
A
A
A

MASALAH air di Kelantan bukanlah perkara baharu. Ia sudah berlarutan sejak puluhan tahun dan ibarat sudah menjadi ‘duri dalam daging’ bagi rakyat di negeri itu.

Saban hari masalah tersebut diutarakan penduduk menerusi pelbagai platform media sosial seperti Twitter, Facebook, WhatsApp dan TikTok.

Keluhan di media sosial merupakan satu bentuk ‘luahan’ rakyat betapa peritnya berdepan masalah air, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas dan kering yang sedang melanda kini.

Masalah itu juga sering dilaporkan di media massa utama tapi seolah-olah tiada kesudahan.

Isu bekalan air bermula pada tahun 1990 selepas Pas diberi mandat rakyat untuk mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN).

Bermula daripada situlah episod isu air ini berterusan apabila kerajaan Persekutuan di bawah BN dikatakan telah menyekat peruntukan, penyebab utama Kelantan gagal menyelesaikan isu bekalan air bersih sehingga hari ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu menjelaskan, isu air bukan kegagalan sebaliknya berkait masalah pelaksanaan. Tegas beliau, masalah berpunca daripada kekangan kewangan yang berlaku sejak tahun 1990.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh 30 tahun, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu tersebut termasuk langkah migrasi air ke Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) pada tahun 2016. Ketika itu, Kelantan memerlukan RM2 bilion untuk menyelesaikan masalah itu.

Malangnya, selepas menandatangani perjanjian, peruntukan RM2 bilion itu tidak turun ke negeri kerana melibatkan beberapa isu teknikal. Berdasarkan hasil anggaran semasa pada tahun 2022, perbelanjaan keseluruhan meningkat kepada RM7 bilion sekiranya mahu menyelesaikan masalah tersebut.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pula mendedahkan, masalah bekalan air boleh diselesaikan jika mempunyai sumber kewangan sebanyak RM5.03 bilion.

Menurut Pengurus Besar AKSB, Dr Nazmi Ghazali Azmi, jumlah tersebut berpandukan kepada Pelan Induk (2021-2030) merangkumi program pengurusan air tidak terhasil (NRW) berjumlah RM1.7 bilion, Pembangunan Takungan Pinggir Sungai (RM2.1 bilion), pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) mini (RM120 juta), pembinaan LRA baharu (RM740 juta), naik taraf LRA sedia ada (RM300 juta) dan pengurusan aset (RM70 juta).

Namun begitu, kelemahan urus tadbir AKSB menjadi salah satu punca yang membawa kepada masalah bekalan air bersih gagal diselesaikan.

Perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Kelantan hari ini dilihat lebih selesa meletakkan kesalahan tersebut kepada BN yang bertindak menyekat peruntukan. Ia ibarat ‘senjata’ untuk menutup kegagalan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Ketika Townhall Madani @ Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Machang, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menyebut, peruntukan yang banyak sekalipun tidak akan menyelesaikan isu air Kelantan jika isu pengurusan tidak selesai.

Akhirnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan komitmennya untuk mencari dana dan melaksanakan projek bekalan air yang lengkap untuk Kelantan.

Semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kota Bharu pada 12 Mei lalu Perdana Menteri berjanji, projek itu akan dilaksanakan dengan cepat jika kerajaan negeri memberi kerjasama. Sudah pasti komitmen ituti ditunggu-tunggu seluruh rakyat Kelantan.

Selang beberapa hari selepas itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menghadiri rumah terbuka Felcra di Bukit Tiu, Machang pula mengumumkan kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan.

Peruntukan tersebut disalurkan bermula tahun ini sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri.

Semoga dengan pengumuman tersebut, isu bekalan air bersih di Kelantan akan sampai selesai. Rakyat Kelantan sudah muak dengan drama tuding menuding jari menyalahkan satu sama lain, sedangkan mereka terus menderita.

Persoalan siapa yang benar, siapa yang salah dalam isu ini tidak akan membawa apa-apa perubahan jika tidak disusuli dengan tindakan.

Cukup-cukuplah isu air bersih dijadikan bahan kempen politik di Kelantan.

* Hazelen Liana Kamarudin ialah Wartawan Sinar Harian Kelantan