Pemberian sagu hati tahunan prosedur biasa

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Mohamad Kamal (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Mohamad Kamal (kanan).
A
A
A

KOTA BHARU - Pemberian saguhati setahun sekali kepada ahli lembaga pengarah Air Kelantan Sdn Bhd merupakan prosedur biasa sebagai menghargai tugasan mereka.

Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, sebahagian besar lantikan ahli lembaga pengarah iaitu tujuh daripada sembilan individu merupakan profesional dalam aspek pengurusan dan teknikal air.

Menurutnya, kesemua mereka tiada sebarang jawatan dalam parti.

"Ia sebagai menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan dasar kepada pihak pengurusan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu, dokumen sulit yang disebarkan secara tidak wajar itu bertujuan memberikan persepsi negatif terhadap AKSB.

Jelas beliau, syarikat itu sudah melakukan langkah penambahbaikan melibatkan kebajikan kakitangan sama seperti penjawat awam yang lain.

Sebelum ini tular satu surat yang dikatakan daripada pengurusan AKSB mengenai sagu hati hari raya sebanyak RM10,000 kepada Ahli Lembaga Pengarah AKSB.

AKSB diminta mengesahkan kesahihan surat yang tular di laman sosial itu bertujuan menjelaskan keadaan sebenar.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, jika surat berkenaan sagu hati Hari Raya itu benar, mereka perlu menjelaskan rasionalnya pemberian berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad Kamal turut mengakui masih optimis dengan kaedah berkenaan yang bukan sahaja menjauhi rasuah tetapi melibatkan soal integriti.

"Ia termasuk tindakan mereka yang berniat jahat mendedahkan sesuatu yang secara pentadbirannya biasa diamalkan," ujarnya.

Justeru, beliau mencadangkan AKSB menyiasat kebocoran dokumen sulit dalam kalangan kakitangan kerana dokumen itu dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.