Perak wajibkan taska pasang CCTV

Salbiah ketika menjawab soalan Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.
Salbiah ketika menjawab soalan Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) diwajibkan ke atas semua taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Perak, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Salbiah Mohamed.

Beliau berkata, ketetapan itu dikenakan ke atas Taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kecuali yang beroperasi di rumah sebagai langkah pencegahan kejadian tidak diingini seperti penderaan.

"Setakat ini sebanyak 225 taska di seluruh Perak direkodkan berdaftar dengan JKM.

"Daripada jumlah berkenaan 112 taska berdaftar terletak di Kinta, Manjung (23), Perak Tengah (19), Larut Matang dan Selama (15), Hilir Perak (13), Kuala Kangsar (11), Kerian (8), Batang Padang dan Mualim (7), Hulu Perak dan Kampar (5)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Salbiah (BN-Temengor) berkata, mana-mana pengusaha yang melanggar atau gagal mematuhi mana-mana peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012, boleh diambil tindakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya, antara tindakan dikenakan termasuklah arahan bertulis, tutup sementara, kompaun, pendakwaan dan pembatalan perakuan.

"JKM menerusi Pegawai Diberi Kuasa (PDBK) turut melaksanakan pemantauan dan lawatan ke atas Taska dua kali setahun.

"Teguran akan dibuat jika terdapat sebarang ketidakpatuhan dalam pengurusan pusat berkenaan," katanya.